MAFS arah stok beras tempatan diedar segera - Utusan Malaysia

MAFS arah stok beras tempatan diedar segera

Beras tempatan
MOHAMAD SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengarahkan bekalan beras putih tempatan (BPT) segera diedarkan ke pusat jualan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perbincangan segera akan dilakukan bersama pengilang dan pemborong bagi mengelakkan insiden kekecohan seperti yang berlaku di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Bagan Datuk, Perak semalam tidak berulang lagi.

“Arahan turut dikeluarkan bekalan BPT segera dihantar ke semua pasaraya supaya orang ramai tidak hanya tertumpu kepada outlet FAMA dan LPP Kekecohan berlaku disebabkan oleh stok yang sampai ke outlet tersebut tidak mencukupi.

“Ini seterusnya menyebabkan beberapa pelanggan tidak berpuas hati kerana telah menunggu lama,” katanya ketika lawatan kerja pelan intervensi pengedaran BPT, hari ini. 

Semalam video berdurasi satu minit 17 saat dilaporkan tular memaparkan tindakan beberapa individu mengamuk kerana tidak dapat membeli BPT di outlet FAMA Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Mohamad menjelaskan, FAMA mengedarkan 244 metrik tan BPT ke seluruh negara menerusi gerai-gerai usahawan bimbingannya setakat ini.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya membeli beras mengikut keperluan dan tidak menyimpan stok supaya lebih ramai pengguna dapat membeli BPT. 

“Saya dimaklumkan semalam ada pembeli yang menggunakan empat orang berbeza untuk membeli sehingga lapan kampit BPT 10 kilogram sedangkan dua kampit 10 kilogram sudah cukup untuk kegunaan dirinya sekeluarga. 

“Jangan khuatir kerana dari semasa ke semasa, stok BPT akan dihantar ke pasar raya dan bekalan dijangka kembali stabil dalam beberapa minggu lagi,” katanya. 

Beliau menambah, para peniaga kecil-kecilan seperti penjual nasi lemak dan pengusaha kantin serta pengusaha pusat tahfiz supaya berhubung dengan FAMA dan LPP bagi menempah bekalan BPT yang diperlukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya