LTSAS dinaik taraf tampung tambahan penerbangan - Utusan Malaysia

LTSAS dinaik taraf tampung tambahan penerbangan

ORANG ramai membeli beras harga rahmah pada Mini Karnival Madani di Ipoh hari ini. - UTUSAN/LIYANA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Terminal Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini akan dinaik taraf bagi menampung pertambahan penerbangan sempena Tahun Melawat Perak 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, antara penerbangan baharu yang dalam peringkat rundingan adalah dari Indonesia, Vietnam, China Selatan, India dan Manila.

Menurutnya, naik taraf LTSAS melibatkan bangunan terminal dan kerajaan negeri belum ada perancangan untuk melebar dan memanjangkan landasan sedia ada.

“Landasan sedia ada sepanjang dua kilometer mampu dan boleh digunakan bagi tambahan penerbangan ini.

“Permohonan bagi pengubahsuaian di lapangan terbang itu sudah dikemukakan kepada Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB),” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada program Mini Karnival Madani dan Sambutan Bulan Kebangsaan peringkat Mukim Hulu Kinta di Kompleks Penghulu Mukim Hulu Kinta, Lahat di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri sedang berunding dengan syarikat penerbangan bagi mewujudkan lebih banyak penerbangan baharu melibatkan destinasi dari beberapa negara di Asia terus ke Ipoh.

Usaha itu dilakukan bagi merancakkan lagi kehadiran pelancong sempena Tahun Melawat Perak 2024.

Mengenai harga rahmah iaitu RM15 bagi beras kampit lima kilogram pada Mini Karnival Madani tersebut, Mohammad Nizar berkata, ramai pengunjung program itu membeli beras pada harga rendah yang ditawarkan.

“Selain beras, pengunjung juga boleh mendapatkan ayam, sayur dan juga barang-barang lain pada harga yang sangat rendah,” katanya.

Sementara itu, penghulu Mukim Hulu Kinta, Lahat, Ekmal Hiduir Mohd Mokhtar berkata, pihaknya menawarkan 200 kampit beras lima kilogram pada harga RM15 bagi satu kampit.

Beliau berharap program seumpama itu diadakan lebih kerap untuk rakyat membeli barangan keperluan harian terutama beras pada harga rendah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya