REMBAU: Kekejaman tentera Jepun yang menjajah Tanah Melayu sebelum ini menimbulkan kebimbangan penduduk terutama dalam kalangan ibu bapa yang mempunyai anak gadis.
Kebimbangan itu turut dirasakan penduduk di Kampung Pedas di sini dan bimbang anak-anak mereka akan diapa-apakan oleh tentera Jepun, ketua kampung pada ketika itu mengambil langkah pantas menyembunyikan anak-anak gadis di kampung itu di atas loteng rumah.
Waris ketua kampung berkenaan, Zamira Shahabudin, 40, berkata, perkara itu diceritakan kepadanya oleh ibunya, Jamilah Salam, 68.
“Ketua kampung ketika itu iaitu moyang saya yang dikenali dengan nama Subuh mengambil langkah tepat menyembunyikan kira-kira 10 hingga 20 anak gadis di atas loteng sebaik terdengar khabar terdapat tentera Jepun mengganas di kampung.
“Anak-anak gadis kampung ketika itu diselamatkan dengan disembunyikan sepanjang tempoh tentera Jepun masuk ke kampung. Memang rumah pusaka Odang (Moyang) Subuh dan Molek Said berusia hampir 100 tahun ini menyimpan sejarah besar bukan hanya buat keluarga, bahkan buat penduduk setempat,” katanya ketika ditemui di rumah berkenaan yang terletak di Kampung Pedas di sini semalam.
Cerita Zamira lagi, pada masa itu, tentera Jepun tidak mampu untuk masuk ke bahagian dalam rumah yang menempatkan loteng kerana dihalang oleh combi door yang menggunakan kayu dari pokok punak.
“Pintu (combi door) ini tidak mampu direntasi tentera Jepun. Pintu ini pun diselak dengan kayu dan anak-anak gadis yang disembunyikan di loteng selamat,” katanya.
Menurutnya, kewujudan rumah itu yang juga dikenali dengan gelaran rumah Wan Ineh turut mendapat perhatian dari ahli akademik universiti tempatan berikutan nilai warisan yang dimiliki di rumah ini.
“Rumah ini merupakan kombinasi dua negeri iaitu Negeri Sembilan dan Melaka. Kami menjaga keaslian rumah ini, cat yang sama, tangga yang sama, tempat nenek saya duduk juga masih sama.
“Semua masih dikekalkan cuma tangga loteng sahaja dikeluarkan bagi tujuan keselamatan,” katanya lagi. -UTUSAN