Lord Lokman asah bakat Ella jadi penyanyi - Utusan Malaysia

Lord Lokman asah bakat Ella jadi penyanyi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERJALANAN bergelar ratu rock negara bukan mudah. Usaha gigih Ella untuk bergelar penyanyi sejak di bangku sekolah menengah wajar dicontohi oleh mana-mana pendatang baharu.

Pengasas kumpulan Ella & The Boys, Lord Lokman, 65, adalah individu pertama yang mula menghidu bakat Ella sejak kali pertama melihat bakatnya di sebuah kelab malam.

“Pada satu hari, saya nampak Ella dengan arwah bapa dia. Masa itu, Ella menunggu giliran untuk menyanyi.

“Saya pun cakap pada dia, kalau nak penyanyi, ikut Uncle. Ayah dia (Aminuddin Manap) pun percayakan saya walaupun ketika itu saya dengan imej berambut panjang,” katanya.

Lord Lokman atau nama sebenarnya Ahmad Lokman Ismail memberitahu, dia adalah saksi bagaimana melihat kesungguhan dan keazaman Ella untuk menjadi seorang penghibur.

Katanya, penyanyi lagu Baldu Biru itu sanggup berulang alik menaiki bas dari Klang ke Kuala Lumpur pada setiap hari untuk praktis bersama ahli kumpulan lain.

“Zaman itu kami berlatih muzik di Flat Sri Pahang, Bangsar. Selepas latihan, Ella akan bermalam di rumah saya. Ketika itu, arwah isteri saya masih ada.

“Latihan habis malam, jadi keesokan pagi baru dia balik. Zaman itu mana ada Grab seperti sekarang. Jadi, awal pagi saya akan hantar dia pulang ke stesen bas.

“Ella masa itu di tingkatan dua dan banyak kali juga ponteng sekolah semata-mata mahu berlatih menyanyi,” ujarnya.

‘MUKA TAK SIAP’, ELLA KENA REJECT?

LORD berkata, dia mengambil masa selama empat tahun untuk mengasah bakat dan kebolehan nyanyian Ella.

Baginya, Ella adalah seorang penyanyi yang cepat belajar walaupun sesekali air matanya tumpah disebabkan menerima teguran ketika latihan.

“Masa sesi rakaman, saya lenturkan suara dia dan ajar teknik nyanyian yang betul. Suara dia sejak dulu memang begitu.

“Dua tahun dia menyanyi di kelab malam di Jalan Telawi, Bangsar dan selepas tempoh itu kami sudah mengadakan persembahan di luar.

“Saya masih ingat bapa dia mahu anaknya terkenal seperti Allahyarham Datuk Sharifah Aini. Sedangkan ketika itu, saya mahu buat lebih daripada itu. Tak fikir hendak tiru penyanyi lain,” katanya.

Mengimbas kenangan, Lord Lokman memberitahu pengurus artis tersohor, Mike Bernie Chin pernah menolak hasratnya untuk memperkenalkan Ella sekitar era 1980-an.

Katanya, usaha menunggu hampir seharian di pejabat syarikat rakaman itu tidak mendatangkan hasil apabila Mike yang pernah menguruskan karier Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, Anita Sarawak dan Noorkumalasari membuang gambar Ella.

“Saya bawa gambar Ella sebab hendak duduk bawah dia (Mike). Sebab tahu dia menguruskan artis bertaraf antarabangsa.

“Dia ambil gambar Ella dan kemudian campak kepada saya: ‘Budak mana kau bawa ini?’

“Yelah, Ella masa itu pun budak lagi, belum pandai bersolek. Masa itu niat saya hanya mahu bawa penyanyi terbaik. Dari pukul 9 pagi sampai 6 petang saya tunggu, terus kena reject,” kongsinya.

GAJI RM1.50

LORD yang dilahirkan pada 16 April 1957 di Kota Bharu, Kelantan memberitahu minatnya terhadap muzik mula bercambah sejak di bangku sekolah menengah lagi.

Walaupun tidak mendapat restu daripada ibu dan bapanya, dia tetap berdegil bermain gitar dan kadang kala curi-curi belajar di kelab malam. Ketika itu, dia rapat dengan penyanyi, Jay Jay kerana mereka dari sekolah yang sama.

“Dari zaman sekolah saya sudah melihat orang main gitar dan menyanyi. Masa tingkatan 3, tahun 1974 saya sudah main bass.

“Masa itu, curi-curi hendak belajar muzik pergi kelab malam dengan Jay Jay. Dari situ banyak belajar termasuk lagu Cina,” kongsinya.

Bapa dua anak ini berkata, dia kerap merantau ke negeri lain termasuk Johor. Sejak itu, dia mula mengenali Man Kidal dan Amy Search.

“Selepas itu, saya merantau ke Kuala lumpur dan menubuhkan satu band, The Pilgrims. Ketika itu, baru berusia 20 tahun.

“Dulu kerja kelab malam pernah dapat upah RM1.50 sehari. Lepas juga nak beli rokok 20 sen dan tonton wayang 40 sen,” kongsinya.

PERANG DINGIN MENURUT

Lord Lokman, ratu rock negara itu sempat menghasilkan empat album di bawah jenama Ella & The Boys sejak dari 1982 hingga 1988.

Selain Ella dan Lord Lokman, kumpulan rock yang ditubuhkan sejak 1981 itu pada awalnya turut dibarisi Ayie selaku pemain basis, Satiman (keyboard) selain Azzarul dan Mie (dram).

Bagaimanapun, perjalanan Ella bersama kumpulannya tidak panjang, apabila penyanyi itu mengambil keputusan bergerak solo.
“Setahun kemudian, kami ambil Shima bagi menggantikan tempat Ella.

“Memang saya kecewa ketika itu. Yelah, penganjur sendiri sudah tawarkan bayaran persembahan yang lumayan depan mata dia. Siapa tak mahu,” katanya.

Bagaimanapun, Lord Lokman tetap berbangga melihat pencapaian Ella yang melakar kejayaan tersendiri bermula dengan album Pengemis Cinta, di sebalik episod perselisihan tersebut.

Katanya, dia sendiri menciptakan lagu Layar Impian khas untuk Ella yang kemudian dimasukkan ke dalam album Demi Ella terbitan 1996.

“Walaupun kami tidak bercakap, saya minta adik saya, Satiman berikan lagu tersebut kepada Ella tanpa memaklumkan itu gubahan saya.

“Dalam kulit album memang nama Satiman, tetapi selepas 27 tahun, baru saya dedahkan rahsia ini,” katanya.

Air yang dicincang tidak akan putus, begitu juga hubungan Lord Lokman dan Ella yang akhirnya kembali terjalin selepas perang dingin bertahun-tahun.

“Suami Ella, Kapten Azhar Husaini yang rapatkan kami semula. Saya terharu apabila Ella mengundang saya beraksi di Konsert Puteri Kota di Axiata Arena, Bukit Jalil baru-baru ini. Ella memang layak berada di tahap sekarang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya