KALAU dahulu, penyanyi ini hanya menjadi hos kepada sebuah persembahan artis lain di lokasi berprestij yang mempunyai tahap akustika tinggi, Dewan Filharmonik Petronas (DFP).
Tahun 2023 ternyata merupakan tuah buat penghibur berbakat besar, Alif Satar, 33, apabila mimpinya untuk menyanyi di hadapan lebih 900 audiens menjadi kenyataan.
Kata Alif, cabaran yang dilalui menjelang konsert tersebut juga bukan kepalang. Katanya, dia bersama kugiran, The Locos hanya mempunyai tempoh dua hari untuk berlatih sepenuhnya dengan 65 pemuzik Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO).
“Secara peribadi, saya bekerja tanpa henti untuk konsert ini. Sejak balik menunaikan ibadah haji, saya terus praktis bersama The Locos. Ikutkan seminggu sebelum konsert, baru saya dapat tahu susunan lagu yang akan dipersembahkan bersama MPO.
“Stres juga sebenarnya sebab masing-masing adalah pemuzik profesional dan ini adalah pengalaman yang tiada galang ganti,” katanya.
Berkongsi perasaan bergabung dengan MPO, bapa tiga anak ini berkata, persembahan bersama pemuzik tersebut merupakan satu perasaan luar biasa untuk digambarkan.
Jelasnya, ia bukan sahaja menyentuh perasaan tetapi melibatkan tempo dan bunyi simfoni yang terhasil daripada semua instrumen di atas pentas.
“Bila menyanyi rasa seperti di awang-awangan. Ada juga rasa gayat. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan bertuah dapat bekerjasama dengan pemuzik yang fantastik dari MPO.
“Peluang ini juga adalah satu proses pembelajaran sebab sepanjang sesi latihan dan raptai, kita dapat melihat sikap profesionalisme dan disiplin mereka.
“Nilai itu yang membuatkan saya bertambah seronok apabila melihat sikap patuh masa dan main sepenuh perasaan,” jelasnya.
Alif beruntung kerana persembahan minggu lalu bukan sahaja disaksikan oleh peminat tempatan, tetapi turut dihadiri oleh beberapa penggemar muzik orkestra dari luar negara.
Melihatkan sambutan tersebut, Alif juga berharap dapat bekerjasama sekali lagi bersama MPO untuk mengadakan persembahan di lokasi serta negara lain.
“DFP memang ada peminat tersendiri dan penonton yang datang dia tahu kualiti yang MPO persembahkan.
“Ikutkan ini adalah kali pertama MPO main bersama band seperti kami. Sebelum ini, lebih banyak pada penyanyi solo seperti Datuk Jamal Abdillah, Datuk Ramli Sarip dan ramai lagi,” ujarnya.
KLASIKAL DAN POP
Bagi gitaris, Tam Cobain, usaha untuk menggabungkan muzik The Locos dengan MPO adalah sebuah kerja yang sukar, namun berjaya direalisasikan hasil sentuhan maestro muzik, Ahmad Muriz Che Rose.
“Genre kami adalah pop, MPO pula berkonsepkan klasikal. Akhirnya, dapat digabungkan di bawah pimpinan konduktor muzik (Ahmad Muriz).
“Persembahan ini juga untuk mendidik penonton supaya dapat merasai kelainan apabila menonton persembahan kami bersama orkestra,” katanya.
Selain Alif dan Tam, The Locos yang ditubuhkan sejak 2018 turut dianggotai oleh tiga ahli lain iaitu Efry Arwis (bass), Rajwan Juni (dram) dan Faliq Auri (saxophone).
Sepanjang dua jam persembahan minggu lalu, Alif menyampaikan lagu-lagu yang pernah mempopularkan dirinya seperti Lelaki Seperti Aku, Lelaki Tak Sempurna, Cukup Indah, Jangan Nakal, I Want You To Love Me, Isteri, Sesungguhnya Aku dan Anugerah Terindah.
Alif turut membuat kejutan dengan memilih untuk mendendangkan lagu daripada seniman legenda, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Getaran Jiwa serta lagu milik penyanyi berpengalaman, Datuk Sheila Majid berjudul Sinaran.