PETALING JAYA: Sebuah rumah dan dua kenderaan musnah dalam kebakaran di Rumah Murah Kerling di Jalan Kuala Kubu Bharu-Rawang di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 1.10 pagi itu, kebakaran tersebut disedari lima penghuni rumah tersebut yang menyelamatkan diri.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.18 pagi.
Katanya, seramai 13 anggota dan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu serta BBP Bukit Sentosa dikerah ke lokasi.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, kita mendapati rumah itu terbakar 80 peratus.
“Turut musnah Toyota Hilux yang terbakar keseluruhannya dan dan Toyota Estima (15 peratus),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata, pihaknya percaya kebakaran bermula dari tempat letak kenderaan.
Jelasnya, ketika kejadian, terdapat penghuni yang sedang tidur sebelum menyedari kebakaran tersebut.
“Api berjaya dikawal pada 1.55 pagi sebelum padam sepenuhnya satu jam kemudian.
“Bagaimanapun, punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya.- UTUSAN