Lima pemandu e-hailing bawa PATI didenda RM35,000

Lima pemandu e-hailing bawa PATI didenda RM35,000

LIMA lelaki yang juga pemandu e-hailing dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan membawa PATI. -UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Lima lelaki yang juga pemandu e-hailing didenda RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam kenderaan masing-masing, bulan lalu.

Tertuduh, Mohd. Taufiq Md. Isa, 30; Syed Salim Syed Anuar, 34; Muhammad Hafiz Rudi, 35; Mohd. Fhairul Arifin Shaharudin, 39, dan Shahrulnizam Abu Hanafi, 46, membuat pengakuan tersebut sejurus selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di dua mahkamah berasingan.

Bagi pertuduhan di hadapan Hakim Dharmafikri Abu Adam, Muhammad Hafiz dan Syed Salim, masing-masing didapati membenarkan dua dan seorang PATI warganegara Indonesia berada dalam kenderaan masing-masing.

Sementara itu, bagi pertuduhan di hadapan Hakim Mohd. Ismail Sabri, Mohd. Fhairul Arifin dan Shahrulnizam didapati membenarkan seorang PATI sementara dua PATI berada dalam kenderaan Mohd. Taufiq.

Kesemua kesalahan itu dilakukan antara pukul 12 tengah hari hingga 11 malam di pesisir Pantai Klebang dan kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Ayer Keroh dalam daerah Melaka Tengah pada 14 Ogos 2023.

Sabit kesalahan kesemua tertuduh berdepan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM30,000 atau penjara maksimum 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap imigran mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 55E (2) akta sama.

Sementara itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari dan Muhamad Nazrin Ali Rahim mencadangkan hukuman berbentuk pengajaran kepada tertuduh selain dapat memberi peringatan kepada masyarakat yang bekerja sebagai pemandu e-hailing

Peguam Omar Zulkarnain dan Datuk Hanif Hassan merayu hukuman ringan berbentuk denda selain kesemua tertuduh insaf.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM10,000 kepada Mohd. Taufiq dan Muhammad Hafiz manakala Syed Salim, Mohd. Fhairul Arifin dan Shahrulnizam didenda RM5,000 seorang.

Mahkamah turut mengarahkan telefon, anak kunci dan kereta yang didaftarkan atas nama isteri Muhammad Hafiz dan kakak Syed Salim dikembalikan kepada tertuduh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN