Lima anggota penguatkuasa disyaki terlibat rasuah direman

Lima anggota penguatkuasa disyaki terlibat rasuah direman

PEGAWAI SPRM membawa lima anggota penguatkuasa yang berpakaian lokap berwarna jingga setelah direman kerana terlibat kegiatan rasuah di Kompleks Mahkamah Alor Setar, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Lima anggota penguatkuasa direman enam hari kerana disyaki terlibat dalam kegiatan rasuah bagi melindungi dan tidak mengambil tindakan terhadap bot-bot nelayan yang melanggar undang-undang di negeri ini. 

Kesemua mereka antara 11 individu berusia 30-an hingga 50-an ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, kerana disyaki terlibat dalam perbuatan itu yang didakwa berlaku antara 2018 hingga 2021. 

Perintah tahanan reman terhadap kesemua mereka dikeluarkan Majistret Siti Norhidayah Mohd. Noor di lokap Mahkamah Alor Setar, hari ini. 

Kelima-lima suspek tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 8.30 pagi dengan diiringi pegawai SPRM, sebelum dibawa keluar 20 minit kemudian. 

Terdahulu, SPRM menahan 11 individu termasuk sembilan anggota penguatkuasa kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemilik bot serta ‘runner’.

Ia sebagai balasan untuk melindungi dan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap bot-bot nelayan yang melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985. 

Kesemua mereka ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kedah di sini antara pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari, semalam. 

Difahamkan, mereka yang terlibat menerima wang rasuah yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi masing-masing bernilai antara RM300 hingga RM7,000.

Sembilan anggota penguatkuasa tersebut berkhidmat di Kuala Kedah, Batu Uban dan Langkawi manakala dua lagi orang awam, ditahan kerana disyaki memberikan wang rasuah.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. Enam lagi individu yang ditahan semalam, dilepaskan atas jaminan SPRM selepas keterangan mereka diambil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN