KOTA BHARU: Kelantan United merakamkan kemenangan kedua dalam saingan Liga Super musim ini apabila bangkit untuk mengalahkan Kuching City 2-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.
Bagaimanapun, perlawanan tersebut terpaksa dimulakan lewat daripada jadual asal iaitu pukul 9 malam susulan hujan lebat yang menyaksikan permukaan padang digenangi air.
Beraksi diatas permukaan padang basah dan licin, kedua-dua pasukan gagal memanfaatkan setiap peluang terhidang untuk menjaringkan gol.
Kuching City bagaimanapun terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Abu Kamara apabila tandukannya berjaya menewaskan penjaga gawang Kelantan United, Mohd. Shahril Sa’ari pada minit ke-42 dan kedudukan kekal 0-1 sehingga tamat separuh masa pertama.
Bermula babak kedua skuad Kijang Hijau tampil dengan aksi lebih bertenaga dengan melakukan serang bertali-arus ke kubu pelawat.
Usaha keras skuad kendalian Ailton Silva akhirnya membuahkan hasil apabila tandukan Ismaheel Akinade pada minit ke-47 berjaya mengikat kedudukan menjadi 1-1.
Tuan rumah terus ‘bernafsu’ selepas itu dan berjaya menambah jaringan melalui rembatan deras Jose Porteria yang melantun masuk ke gawang Kuching City pada minit ke-55.
Tersentak dengan jaringan itu, Kuching City terus menggandakan usaha menggempur kubu tuan rumah untuk kembali menyamakan kedudukan namun gagal membuahkan hasil sekali gus menyaksikan keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan..
Keputusan perlawanan menyaksikan Kelantan United kekal di kedudukan ke-12 manakala Kuching City terus menghuni tangga tercorot carta Liga Super.-UTUSAN