Lepas Ahmad Zahid bukti kebenaran akhirnya tertegak - Utusan Malaysia

Lepas Ahmad Zahid bukti kebenaran akhirnya tertegak

AHMAD RAZIF ABD. RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan semalam membuktikan kebenaran akhirnya tertegak memihak kepada pemimpin tersebut.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Dr. Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, sebagai rakyat yang berpegang teguh kepada prinsip keluhuran perlembagaan dalam Rukun Negara, semua pihak wajar berlapang dada menerima hakikat tersebut.

Menurutnya, keputusan Mahkamah Tinggi itu juga menjawab mengenai  segala tohmahan yang dilemparkan kepada kepimpinan tertinggi UMNO sebelum ini, khususnya terhadap Presiden.

“Saya ingin menegaskan bahawa kebenaran itu tidak wajar dilihat atau bersifat hanya memihak kepada mereka sahaja tetapi kebenaran akan dipertikaikan jika sesuatu tidak memihak kepadanya.

“Kebenaran tidak begitu sifat dan terpakai kepada semua orang,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan malam ini.

Ahmad Razif yang juga bekas Menteri Besar Terengganu berkata, perkembangan tersebut akan membantu proses pemulihan parti bagi mengembalikan keyakinan rakyat dalam menghadapi Pilihan Raya Ke-16 nanti.

Justeru, tambahnya, beliau juga sependapat dengan barisan kepimpinan parti agar segera ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat bekas Peguam Negara, Tomy Thomas mengenai pelbagai kepincangan yang berlaku sebelum ini.

“Saya yakin, hanya dengan langkah itu, segala-galanya akan terjawab dan kebenaran akan lebih terserlah.

“Sebagai pemimpin di akar umbi, sudah tentu saya sangat bersyukur dengan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut,” ujarnya.

Pada masa sama, Ahmad Razif menambah, beliau juga berharap proses keadilan yang sama diberikan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak kerana setiap orang berhak menerima proses keadilan tersebut.

“Saya berharap, demi memperkukuhkan parti, marilah kita semua terus istiqamah dengan perjuangan yang  berpaksikan kepada kehendak rakyat,” katanya.

Selepas 77 hari dibicara, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence bagaimanapun menolak permohonan pasukan pembelaan supaya beliau dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan yang dihadapi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya