Lelaki tak mengaku miliki 25 keping wang RM100 palsu

Lelaki tak mengaku miliki 25 keping wang RM100 palsu

LOH Ker Chun (kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret dengan diiringi polis bagi berdepan pertuduhan memiliki 25 keping wang RM100 palsu di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki 25 keping wang RM100 palsu, awal bulan ini.

Tertuduh, Loh Kher Chun, 30, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Norhidayah Mohd. Noor.

Mengikut kertas pertuduhan, kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Gunung Perak, Lebuhraya Sultanah Bahiyah kira-kira pukul 10.30 pagi, 3 September lalu.

Kesemua wang palsu itu memiliki nombor siri berbeza dan tertuduh didakwa menyedari bahawa mata wang itu adalah palsu serta berniat untuk menggunakannya sebagai tulen.

Sehubungan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Nurfatin Mastura Asri manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Shaifuddin Mat Sulong.

Terdahulu, Nurfatin mencadangkan agar mahkamah menetapkan jumlah sebanyak RM15,000 sebagai kadar jaminan untuk tertuduh.

Shaifuddin sebaliknya memohon agar jaminan minimum ditetapkan mahkamah memandangkan tertuduh tidak mempunyai pendapatan tetap kerana baru diberhentikan kerja selain menanggung isteri serta dua anak.

Mahkamah kemudiannya menetapkan kadar jaminan sebanyak RM7,000 dan 4 Oktober depan sebagai tarikh serahan dokumen.

Difahamkan tertuduh tidak membayar wang jaminan tersebut dan ditahan di Penjara Pokok Sena. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN