Lelaki dituduh terlibat pengubahan wang haram hampir RM1 juta - Utusan Malaysia

Lelaki dituduh terlibat pengubahan wang haram hampir RM1 juta

Wang haram
MUHAMMAD Yusof Zubair tiba di Mahkamah Sesyen, Shah Alam, Selangor hari ini. - UTUSAN/ SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang bekas pengurus akaun sebuah syarikat jualan atas talian didakwa atas 12 pertuduhan membabitkan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM904,010.25, dua tahun lalu di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, tertuduh, Muhammad Yusof Zubair, 28, mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan yang dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Yusof didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram dengan menggunakan dan memindahkan wang termasuk bagi pembayaran akaun kad kredit secara berperingkat dengan jumlah keseluruhan RM904,010.25.

Kesemua perbuatan itu dilakukan menerusi tiga akaun bank miliknya dan seorang lelaki lain di tiga cawangan bank berbeza di sekitar Petaling Jaya dan Shah Alam antara 9 Disember 2020 hingga 13 Julai 2021.

Justeru, dia didakwa di bawah 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Oleh demikian, Muhammad Yusof jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau peralatan kesalahan atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Julianazriana Jaafar mencadangkan jaminan RM100,000 bersama seorang penjamin bagi semua pertuduhan namun peguam tertuduh, Abdul Rahman Zulkhairi memaklumkan anak guamnya tidak ingin dijamin atas kerelaan diri.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 20 November ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN