Lelaki didakwa bunuh bapa guna penyodok

Lelaki didakwa bunuh bapa guna penyodok

M. JAISINO dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya bagi menghadapi pertuduhan membunuh bapanya. UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang anak lelaki yang tergamak memukul bapanya menggunakan penyodok sehingga mati, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh warga emas itu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh M. Jaisino, 50, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapa.

Pengakuan tidak direkodkan kerana kes bunuh itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh bapanya E. Mangalam, 74, di sebuah rumah di Jalan Belimbing, Taman Dato Hormat di sini pukul 2.15 pagi pada 26 Ogos lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Sofea Jaysal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 Oktober ini bagi sebutan kes.

Terdahulu, media melaporkan, seorang anak sanggup membunuh bapanya sendiri sebelum mayat mangsa dililit dengan kain langsir dan kemudian dicampak di tepi jalan di hadapan di Jalan PJS 10/24, di sini.

Dalam kejadian di rumah mangsa kira-kira pukul 12 tengah malam, suspek lelaki berusia 40-an memukul bapanya sehingga mati dengan menggunakan penyodok.

Ketika tragedi berdarah itu berlaku, suspek dikatakan berada dalam keadaan mabuk.

Jarak di antara lokasi mayat dicampak dengan rumah mangsa tidak sampai dua kilometer.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid siasatan awal mendapati suspek dan mangsa tinggal serumah namun sering bergaduh antara satu sama lain.

“Motif pembunuhan dipercayai suspek tidak berpuas hati dengan mangsa yang selalu menghina selain memberikan tekanan kepadanya yang malas bekerja dan kerap menegurnya kerana sering minum alkohol,” kata beliau.

Tambah Mohamad Fakhrudin, pihaknya turut merampas senjata penyodok pasir dipercayai digunakan untuk memukul mangsa dan sebuah kenderaan dipercayai digunakan untuk membawa mangsa sebelum dibuang di lokasi kejadian.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN