KEMAMAN: Seorang lelaki cedera selepas ditembak rakannya selepas disangkakan seekor monyet di kebun miliknya di Kerteh, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi, lelaki berusia 54 tahun itu cedera di tangan kiri ekoran terkena peluru senapang patah yang dibawa rakannya iaitu seorang warga emas berusia 69 tahun.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, ketika kejadian, mangsa berada di atas pokok manggis untuk memetik buah di kebun tersebut.
“Rakan mangsa yang datang ke kebun tersebut dengan selaras senapang patah melepaskan tembakan selepas melihat pokok manggis tersebut bergoyang yang disangkakan monyet.
“Mangsa yang mengerang kesakitan kemudiannya dibawa ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan dan dibenarkan pulang selepas dirawat,” katanya, di sini, hari ini.
Hanyan berkata, pihak polis telah merampas senapang patah tersebut dan suspek turut dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman untuk disiasat.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai lesen pemilikan senjata dan kita sedang mengenal pasti pemilik sebenar senapang tersebut,” ujarnya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 8 dan 37 Akta Senjata Api 1990. – UTUSAN