KUCHING: Kira-kira 400 mangsa ditipu sebuah syarikat yang menawarkan pelbagai skim berkaitan pembinaan rumah kos rendah dan pelaburan hartanah di Sarawak membabitkan penduduk di sekitar negeri ini.
Rata-rata mangsa yang terpedaya terdiri daripada penduduk di luar bandar negeri ini yang tinggal di rumah panjang perkampungan masing-masing, selain individu yang masih mengidamkan perumah sendiri dan pesara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang mangsa yang tidak mahu identitinya dikenali berkata, dia yang merupakan seorang pesara berhasrat untuk memiliki sebuah rumah yang selesa untuk didiami ahli keluarganya tidak tercapai.
“Individu ini yang mengatakan dirinya daripada sebuah syarikat hartanah mengenali saya secara fizikal di Bintulu pada tahun 2018 yang menawarkan pelbagai skim pembinaan rumah dengan harga yang rendah. Pada tahun itu, saya baru sahaja bersara dan mahu membina sebuah rumah kediaman yang selesa di tapak tanah sendiri di Bintulu.
“Ketika menawarkan beberapa skim pembinaan rumah itu, syarikat ini menawarkan beberapa pakej perumahan yang bermula dari RM120,000 sehingga RM165,000. Malangnya, saya terpedaya dengan helah syarikat itu dan telah membayar anggaran RM65,000 setakat ini,” katanya yang datang dari Bintulu ke Kuching.
Terdahulu, lebih 60 orang yang menjadi mangsa penipuan itu hadir di Perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini hari ini bagi menyerahkan surat permohonan perhatian ke atas skim itu di sini hari ini yang diketuai Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).
Sementara itu, seorang lagi mangsa yang ditemui berkata dia terpedaya dengan tawaran tersebut melalui seseorang individu yang mengatakan dirinya seorang ejen menerusi laman sosial facebook untuk menawarkan pembinaan rumah dengan konsep idea dan reka bentuk yang diingini pada harga yang rendah.
“Saya didatangi oleh seseorang individu yang dikenali daripada iklan di facebook untuk pembinaan rumah idaman pada tahun 2021, dan individu berkenaan telah menunjukkan beberapa projek yang telah berjaya dibina syarikat mereka seperti di Kuching, Serian dan bahagian-bahagian lain di Sarawak.
“Tindakan mereka dengan mengenalkan beberapa projek yang telah dibina telah membuatkan saya tidak mengesyaki apa-apa. Malah mereka telah datang ke tapak tanah pusaka keluarga yang mana merupakan cadangan tapak pembinaan untuk menyukat saiz pembinaan rumah yang dijanjikan.
“Kemudiannya, modus operandi mereka adalah seperti sama semua iaitu memperdaya dengan meminta bayaran pendahuluan bagi fasa satu pembinaaan projek rumah yang diidamkan.
Rata-rata mangsa yang terpedaya diminta untuk membuat pembayaran sebanyak RM20,000 sehingga ke RM35,000.
Konsep skim pelaburan yang ditawarkan oleh syarikat tersebut adalah menawarkan perkhidmatan untuk membina dan mengubah suai rumah berpandukan kepada pakej-pakej yang ditawarkan.
Selain itu pihak syarikat itu juga menawarkan skim pelaburan pembinaan hartanah yang mana para pelabur atau pengadu dijanjikan dengan pulangan atau faedah di dalam bentuk pulangan dividen dan juga aset hartanah.
Bagaimanapun, tiada sebarang maklumbalas atau perkembangan semasa yang dimaklumkan setelah mangsa membuat bayaran penuh atau pembayaran pendahuluan.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menggesa pihak polis meneliti perkara tersebut dengan serius kerana melibatkan banyak kos kerugian kepada mangsa dengan anggaran hampir RM50 juta.
Katanya, MHO telah mengemukan Serahan Penyataan Tambahan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah dan Surat Mohon Perhatian dan Tindakan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berhubung kes ini.
“Selain itu, kita tidak mahu lagi perkara ini dipandang remeh dan siasatan perlu dilakukan segera agar tindakan undang-undang dilaksanakan kepada suspek yang telah memperdayakan mangsa dalam skim hartanah ini sekali gus menghentikan skim ini,” katanya. – UTUSAN