PETALING JAYA: Lebih 20,000 generasi baharu nelayan seluruh negara masih bergelut untuk mendapatkan lesen bot menangkap ikan.
Mereka terdiri daripada nelayan baharu yang kebanyakannya pelapis menggantikan individu dalam keluarga masing-masing.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengerusi Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring), Mohd. Faizal Mohd. Zabri berkata, ketiadaan lesen tersebut menyukarkan nelayan menjalankan operasi menangkap ikan dengan kebenaran yang sah.
Sedangkan katanya, mereka bergantung sepenuhnya kepada tangkapan ikan.
“Sekarang ini kerajaan bagi lesen atau tidak, mereka tetap menangkap ikan, tetapi seperti ‘pencuri’.
“Kadangkala bukan mereka ini tidak mahu ambil lesen, kalau senang seperti ambil lesen motosikal, ramai sudah ambil.
“Ada yang kata sanggup bayar berapa ribu pun tidak apa, janji ada lesen supaya tidak diganggu pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mengulas lanjut Mohd. Faizal berkata, isu berhubung kelulusan lesen bot tersebut sering dibangkitkan sebelum ini, namun masih tiada jalan penyelesaian.
Justeru katanya, pihaknya mencadangkan Jabatan Perikanan mengeluarkan satu pas khas kepada nelayan yang masih tidak mempunyai lesen bot itu bagi memudahkan mereka turun menangkap ikan.
“Soal pas khas sudah pernah diusulkan kepada Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub ketika menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan cadangan itu disambut baik, tetapi tidak sempat (dilaksanakan) apabila Pakatan Harapan (PH) jatuh.
“Mei lepas kita ada hantar surat untuk berjumpa Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu untuk usulkan kembali cadangan itu, tetapi sampai sekarang tidak dijemput.
“Jadi, Jaring dalam proses untuk mengatur perjumpaan bersama Jabatan Perikanan di Putrajaya untuk usul pas berkenaan,” katanya.
Beliau menambah, pas khas itu dilihat sebagai satu langkah mudah yang bukan sahaja membantu nelayan, tetapi menjimatkan kewangan negara.
“Kita faham kalau beri lesen, maka banyak belanja untuk keistimewaan (bantuan), tetapi jika pas khas ini maka tidak perlu (keistimewaan), cuma perbaharui seperti biasa.
“Bila ada pas, bolehlah selesai banyak masalah dengan baik, memudahkan pihak berkuasa pantau bot warga asing dan kawal nelayan baharu.
“Dengan pas juga, baru nelayan itu diiktiraf, jadi boleh lihat hasil laut meningkat atau menurun. Sebab sekarang ini hasil tangkapan bukan dikatakan merosot, tetapi operasi nelayan tidak berdaftar yang tidak dikira sama,” katanya.
Dalam pada itu, kira-kira 400 generasi pelapis nelayan di daerah Kerian mengadu sukar mendapatkan lesen bot menangkap ikan setelah mewarisi pekerjaan itu daripada keluarga.
Masalah yang berlaku menyebabkan mereka sukar ke laut menangkap ikan kerana tanpa lesen ia merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang.
Ahli Parlimen Parit Buntar, Mohd. Misbahul Munir Masduki berkata, perkara itu antara masalah utama yang dibangkitkan oleh nelayan pada sesi dialog bersamanya semalam. – UTUSAN