KUALA LUMPUR: Lebih 10,000 rakyat Malaysia berbilang kaum menunjukkan rasa cintakan negara dengan menyertai program persembahan kilat berkumpulan, Keretapi Sarong 2023 yang berlangsung di Dataran Merdeka, di sini semalam.
Program tersebut merupakan anjuran sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), LOCCO yang menghimpunkan rakyat dengan mengenakan pelbagai jenis kain sarung dan pakaian tradisional selain menggunakan pengangkutan awam terutamanya transit aliran ringan (LRT), transit aliran massa (MRT) dan KTM Komuter.
Kesemua peserta berkumpul di beberapa hentian LRT, MRT termasuk di hentian KL Sentral sebelum beramai-ramai ke tempat perhimpunan utama di Dataran merdeka.
Dalam perhimpunan itu, para peserta menunjukkan ekspresi cintakan tanah air masing-masing dengan menari dan menyanyi lagu-lagu rakyat serta lagu berentak irama Malaysia.
Para peserta turut diajak bermain permainan klasik seperti congkak, terompah kayu dan dam haji tanpa mengira kaum.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kebanyakan peserta amat berfikiran terbuka dengan mengenakan busana etnik-etnik yang terdapat di Malaysia seperti Melayu, Orang Asli, Iban, Kadazan, Baba Nyonya dan lain-lain.
Selain peserta dari Lembah Klang, ada juga peserta yang sanggup datang dari jauh seperti Melaka, Perak dan Kelantan yang mahu merasai sendiri kemeriahan program tahunan berkenaan.
Pengunjung dari Kelantan, Nur Fatin Nabila Mukhtar, 23, berasa teruja, pertama kali menyertai program itu.
“Seronok sangat sebab dapat lihat ramai pengunjung mengenakan pakaian tradisional secara fizikal. Sebelum ini, cuma dapat lihat melalui siaran televisyen sahaja,” katanya.
Dia juga berharap program ini dapat diteruskan setiap tahun kerana dapat memupuk semangat perpaduan di kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa.
Seorang peserta yang juga pempengaruh TikTok, Mohd Rustam Johari, 36, sanggup berbelanja hampir RM5,000 untuk memiliki busana kaum iban lelaki.
Bekas penari tradisional dari Melaka ini memberitahu, aksesori yang paling mahal adalah setapok tunjang dengan bulu burung kenyalang yang berharga RM1,800.
“Saya beli set lengkap ini dari Sarawak, saya juga bernasib baik diberikan harga promosi sebab ‘ngajat’ di depan mereka,” katanya.
Seorang lagi peserta dari Bukit Jalil, Asmaq Mohd Yunus turut tampil dengan pakaian Minangkabau hasil daripada jahitan tangannya sendiri.
“Saya jahit sendiri dari baju sehingga ke aksesori dalam masa empat hari sebab tahu berkenaan program ini saat akhir,” katanya.
Katanya, busana itu diinspirasikan daripada bumbung Minangkabau diterap di bahagian bahu dan kepala bagi menyerlahkan lagi sisi kebudayaan Minangkabau itu sendiri.
Penganjuran program pada tahun ini mendapat kerjasama pelbagai pihak antaranya Kementerian Pelancongan, Seni, dan Kebudayaan (MOTAC), Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN), dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Rapid KL, Air Asia, Bulan Bintang dan Mr D.I.Y.