SHAH ALAM: Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi Zuraina Zamri berhubung laporan palsu yang dibuatnya terhadap sebuah madrasah di Shah Alam di Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini.
Keputusan penolakan representasi itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farah Sofea Norazman semasa sebutan kes di hadapan Majistet, Mohamad Reza Azhar Rezali.
Representasi tersebut difailkan Zuraina, 45, pada 20 Januari lalu dan keputusan tersebut yang sepatutnya diketahui pada 9 Mac lalu, namun pihak pendakwaan memohon keputusan ditangguhkan kerana AGC memerlukan masa untuk meneliti representasi tersebut.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan peguam Zuraina, Muhammad Izzat Irfan Taib memfailkan representasi bersama laporan perubatan untuk menggugurkan dakwaan membuat laporan palsu.
Laporan perubatan tersebut melaporkan berlaku kecederaan dan trauma terhadap anak tertuduh yang didakwa didera oleh guru madrasah berkenaan.
Zuraina ketika ditemui selepas prosiding itu berkata, beliau bersedia untuk dibicarakan dan mempunyai dokumen berkaitan untuk melawan tuduhan laporan palsu berkenaan.
“Saya harap keadilan dapat dibuktikan dalam kes ini,” ujar suri rumah itu.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 13 Oktober ini bagi penetapan tarikh perbicaraan kes.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh telah membuat laporan polis palsu pada 21 Ogos lalu di Balai Polis Taman Sri Muda, Shah Alam dengan mendakwa sebuah premis merawat dan pemulihan telah mendera anak lelakinya ketika mendapatkan rawatan di pusat berkenaan. – UTUSAN