KUALA LUMPUR: Laporan awal nahas pesawat ringan Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Selangor pada 17 Ogos lalu akan dimuat naik esok.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, laporan tersebut akan dimuat naik di laman sesawang Kementerian Pengangkutan pada pukul 10 pagi.
“All the facts will be in the report tomorrow (semua fakta terkandung dalam laporan esok), kita akan muat naik perkembangan nahas Elmina esok pagi,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau pengoperasian tren baharu LRT laluan Kelana Jaya, di sini hari ini.
Sebelum ini, beliau mengumumkan, laporan nahas yang telah meragut 10 nyawa termasuk lapan penumpang itu akan siap esok.
Laporan tersebut adalah berdasarkan rakaman suara selama 30 minit yang diperoleh daripada memory puck dalam perakam suara kokpit (VCR) pesawat berkenaan.
10 individu termasuk pemandu kereta dan penunggang motosikal disahkan maut selepas pesawat itu terhempas pada jam 2.48 petang 17 Ogos lalu.
Kesemua mayat dan cebisan anggota badan mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk dibedah siasat. – UTUSAN