JOHOR BAHRU: Inisiatif kerajaan menggabungkan kaunter agensi-agensi berlainan di semua empat zon laluan kereta di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini sejak 31 Ogos lalu berjaya mengurangkan kesesakan di Tambak Johor.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng berkata, pergerakan trafik termasuk pada waktu puncak di BSI kini semakin lancar selepas kesemua 38 kaunter sedia ada digabungkan.
“Hasil pemantauan saya turut mendapati langkah penggabungan kaunter itu berjalan dengan lancar dan ia juga mesra pengguna.
“Penggabungan itu melibatkan tiga urusan sedia ada iaitu urusan Imigresen, pembayaran toll dan urusan caj jalan raya untuk kereta Singapura,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di premis berkenaan, semalam.
Tambah beliau, inisiatif tersebut telah mula dirancang pada 2018 semasa beliau menyandang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Petugas Khas di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), BSI.
“Langkah penambahbaikan itu memerlukan kerjasama dan koordinasi melibatkan Jabatan Imigresen di bawah Kementerian Dalam Negeri; Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) daripada Kementerian Pengangkutan; Jabatan Kerja Raya (JKR) daripada Kementerian Kerja Raya; Lembaga Lebuh Raya serta pihak pengurusan bangunan dan fasiliti BSI.
“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penambahbaikan ini. Saya berharap perubahan yang dibuat ini dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas dan waktu menunggu bagi pengguna jalan raya antara Malaysia dan Singapura,” ujarnya.
Sebelum ini, kedudukan dan operasi kaunter dipisahkan dengan jarak empat meter menyebabkan pengguna perlu berhenti dua kali sekaligus menambah waktu perjalanan dan meningkatkan kesesakan semasa pemeriksaan di BSI.- UTUSAN