Laksana pematuhan ESG untuk bersaing di peringkat global - Utusan Malaysia

Laksana pematuhan ESG untuk bersaing di peringkat global

ESG
HANAFI Sakri (depan, tengah) bergambar bersama sebahagian kepimpinan peserta Seminar ESG di ibu pejabat SIRIM, Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pemilik-pemilik syarikat disaran menetapkan dasar pematuhan terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) supaya tidak ketinggalan dalam persaingan pasaran di peringkat antarabangsa.

Ini kerana, pematuhan standard tersebut sudah pun diamalkan oleh perusahaan-perusahaan luar negara sebagai elemen penting untuk berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hanafi Sakri berkata, berdasarkan kajian daripada sebuah badan antarabangsa pada 2017, pasaran perniagaan melibatkan negara-negara membangun dijangka mencapai 12 trilion Dolar Amerika Syarikat (AS) serta mencipta sehingga 380 juta peluang perniagaan pada tahun 2030.

“Kerangka pematuhan ESG akan dilancarkan pada 2 Oktober hadapan dan ia akan disempurnakan oleh Menteri MITI sendiri, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz supaya syarikat tempatan memahami pematuhan ESG. 

“Kerajaan akan meneliti pelaksanaan pematuhan ESG untuk tempoh dua atau tiga tahun akan datang sebelum mempertimbangkan sama ada untuk mewajibkan syarikat tempatan mengikut pematuhan ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar ESG 2023, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menyatakan kebanyakan syarikat luar negara mahu melihat pematuhan ESG jika mahu berurusan dengan mereka, kerana pelaporan tersebut akan menyakinkan mereka untuk melabur atau membeli produknya.

“Malaysia adalah sebuah negara perdagangan yang bersetuju untuk mengikuti agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 yang diperkenalkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Agenda ini menggariskan pelbagai perkara, termasuk pelaksanaan pematuhan ESG dalam kerangka pembangunan ekonomi yang lebih inklusif. Jadi, kita menyarankan syarikat tempatan mengikut pematuhan ESG dan ini untuk kebaikan mereka juga untuk tempoh beberapa tahun akan datang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya