BUKIT MERTAJAM: Hanya 5,594 wanita yang juga suri rumah di negeri ini mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR)
di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk tempoh lapan bulan pertama tahun ini.
Sehubungan itu, Timbalan Pengarah Perkeso Pulau Pinang, Chiam Hong Lan berkata, sesi libat urus bersama komuniti dan masyarakat telah diadakan secara berperingkat untuk menyemai kesedaran dalam kalangan golongan tersebut berhubung keperluan untuk membuat caruman.
“Kalau kita lihat, jumlah ini (5,594) agak rendah dan sebenarnya, ramai lagi wanita terutamanya dalam kalangan suri rumah tidak tahu tentang skim ini.
“Jadi, saya berharap libat urus yang kita buat bersama pemimpin-pemimpin masyarakat ini termasuk YB (wakil rakyat) akan memberi lebih galakan tentang kepentingan untuk wanita yang bertugas sebagai suri rumah mencarum,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika mengunjungi keluarga Allahyarham Muhamad Firdaus Rosli, 36, atau Orang Berinsurans Bekerja Sendiri (OBBS) yang maut dalam satu kemalangan ketika menjalankan tugas sebagai penghantar makanan, baru-baru ini di Machang Bubok di sini, hari ini.
Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubok, Lee Khai Loon.
Tambah Hong Lan, untuk tempoh yang sama juga iaitu sehingga 31 Ogos lalu, lebih 11,000 individu yang bekerja sendiri telah mencarum di bawah skim perlindungan yang dikenali sebagai Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di Pulau Pinang. – UTUSAN