MIRI: Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) perlu diwujudkan di semua sekolah Kementerian Pendidikan (KPM).
Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, KPM komited untuk menggalakkan pendedahan itu bagi memastikan golongan murid berkeperluan khas terjaga sekali gus mendapat peluang pendidikan yang sewajarnya.
“Pihak KPM komited untuk menjaga golongan murid berkeperluan khas ini. Jadi, saya menggalakkan sekolah mengadakan lebih banyak kelas Program Pendidikan Khas Integriti (PPKI).
“Kita juga berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dan kita menyokong mana-mana sekolah yang ingin menambah kelas khusus kepada PPKI ini,” katanya dalam siri Lawatan Sekolah-Sekolah di Negeri Sarawak di Miri hari ini.
Dalam perkembangan lawatannya ke Sarawak, Hui Ying turut memberi jaminan akan meneliti keperluan untuk mempercepatkan proses pembinaan sekolah daif di negeri ini.
“Salah satu tujuan utama lawatan kita ke Sarawak seperti yang selalu ditegaskan adalah memastikan sekolah-sekolah di Sarawak dijaga dengan baik.
“Setakat ini, di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Lutong dan SJKC Chung San, keadaannya masih baik manakala Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Permaisuri, terdapat satu blok bangunan yang mempunyai masalah bumbung disebabkan anai-anai.
“Menurut pengetua di sana, mereka sedang membuat permohonan dan saya juga berbincang dengan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (Datu Azhar Ahmad), kita akan baiki keadaannya dengan secepat mungkin,” tambahnya.
Tiga sekolah yang dilawat Hui Ying bagi siri pertama di Sarawak merupakan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Lutong, SJKC Chung San dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Permaisuri.
Justeru, katanya, KPM komited memastikan keadaan sekolah di Sarawak terjaga agar dapat menjadi tempat yang selamat dan selesa untuk murid-murid belajar dalam sesi persekolahan.
Bantuan peruntukan diberikan dengan RM150,000 kepada SJKC Chung Hua, Lutong dan masing-masing RM100,000 kepada SJKC Chung San dan SMK Dato Permaisuri, menjadikan keseluruhan peruntukan daripada KPM berjumlah RM350,000.
Sementara itu, SJKC, SMK, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan sekolah mubaligh yang berstatus sekolah bantuan kerajaan (SBK) yang memohon bantuan penyelenggaraan akan turut menerima sekurang-kurangnya RM50,000 atau lebih mengikut kelulusan Bahagian Pengurusan Aset (BPA) bagi tujuan penyelenggaraan serta membaik pulih infrastruktur sekolah masing-masing.
“Bagi sekolah yang berstatus sekolah kerajaan juga akan menerima peruntukan penyelenggaraan tandas sebanyak RM70,000 yang diuruskan oleh JPN dan disalurkan ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
“Siri lawatan ini dijangka diteruskan di tiga buah sekolah di Bintulu pada 26 September, empat buah sekolah di Kuching pada 27 September dan seterusnya sebuah sekolah di Bau pada 29 September ini,” katanya. -UTUSAN