IPOH: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengumumkan pembinaan tiga projek Program Perumahan Rakyat (PPR) baharu di negeri ini yang akan dibangunkan menerusi peruntukan lebih RM308 juta.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, tiga PPR baharu itu akan dibangunkan di Tambun, Lenggong dan Teluk Intan, melibatkan pembinaan 1,200 unit yang akan memberi manfaat kepada 6,000 isi rumah.
Menurutnya, PPR Tambun menyasarkan 500 unit rumah bertingkat dengan pembinaananya melibatkan anggaran peruntukan RM140 juta.
“Buat masa ini KPKT sedang mendapatkan pertimbangan dan kelulusan khas Kementerian Ekonomi bagi PPR Tambun ini,” katanya dalam sidang akhbar pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Kor Ming berkata, bagi PPR Lenggong, sebanyak 300 unit rumah jenis teres akan dibangunkan dengan anggaran peruntukan RM72 juta.
“PPR Lengong atau nama asalnya PPR Perak telah diluluskan dalam Rolling Pelan Ketiga (RP3) Tahun 2023, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan akan dilaksana secepat mungkin.
“Permohonan untuk projek itu sedang dalam pertimbangan Notis Perubahan (NOC) oleh Kementerian Ekonomi,” katanya.
Kor Ming berkata, PPR di Teluk Intan melibatkan pembinaan 400 unit rumah teres serta kemudahan asas di tapak milik Perbadanan PR1MA Malaysia dengan anggaran RM96 juta.
Jelas beliau, permohonan PPR Teluk Intan sudah dikemukakan dan sedang dalam pertimbangan NOC oleh Kementerian Ekonomi.
“Pembangunan projek PPR ini menjayakan sasaran kerajaan Persekutuan untuk pembinaan 500,000 unit Rumah Mampu Milik (RMM) di bawah RMK-12 sekaligus memberi manfaat kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN