PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menetapkan garis panduan sebelum meletakkan kiosk mesin layan diri perubatan di Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, pihaknya akan mendapatkan pandangan semua pihak termasuk daripada Persatuan Farmasi Malaysia dalam melaksanakan garis panduan itu memandangkan wujud kebimbangan antaranya risiko kes keracunan akibat penjualan ubat tanpa kawalan menerusi kiosk itu.
“KPKT akan bekerjasama dengan KKM termasuk semua pemegang taruh bagi mendapatkan idea bernas dan persepsi positif,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Sebelum ini, Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang dilaporkan berkata, setiap ubat mempunyai risiko tersendiri jika tidak diambil dengan betul dan pengguna seharusnya memahami kesan sampingan itu.
Justeru, Amrahi mahu kerajaan memantapkan garis panduan penjualan ubat di mesin layan diri di tempat awam bagi mengelak risiko berkenaan.
Ia susulan perancangan KPKT sebelum ini bekerjasama dengan KKM bagi mewujudkan kiosk mesin layan diri perubatan di PPR di seluruh negara bagi memudahkan penduduk mendapatkan bekalan ubat dan perubatan semasa kecemasan khususnya ketika lewat malam. – UTUSAN