Komited beri peluang pendidikan kepada semua golongan, tiada terpinggir

Komited beri peluang pendidikan kepada semua golongan, tiada terpinggir

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan akan mempertingkat dan memperluas usaha bagi memastikan peluang pendidikan diterima semua pihak serta tidak ada golongan yang terpinggir daripada mendapat akses tersebut.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, usaha untuk memberi peluang pendidikan bagi golongan pribumi, Orang Asli, kawasan pendalaman dan pulau terpencil akan dipertingkat.

“(Ini) akan dipertingkat melalui penyediaan lebih banyak sekolah model khas seperti Sekolah Komprehensif 9 (K9) dan Sekolah Komprehensif 11 (K11),” katanya ketika berucap semasa pembentangan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Negara.

Rafizi berkata, kerajaan juga akan memperluas usaha untuk memastikan kanak-kanak warganegara yang terpinggir dan tidak mempunyai kad pengenalan turut memperoleh peluang pendidikan.

“Inisiatif Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) untuk kanak-kanak warganegara yang terpinggir dan tiada pengenalan diri juga diperluas,” katanya.

Sementara itu, beliau memberi jaminan bahawa isu keciciran pelajar akan diselesaikan oleh kerajaan secara tuntas iaitu melalui pembangunan sistem murid cicir bersepadu.

Tambahnya, Dasar Pendidikan Digital (DPD) akan diluncurkan bagi melahirkan murid berkemahiran digital dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

“Matlamat DPD adalah untuk melahirkan murid fasih digital yang berdaya saing melalui peningkatan pengetahuan, kemahiran dan nilai,” katanya.

Ahli Parlimen Pandan tersebut berkata, kerajaan juga komited untuk memperkasa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“Tenaga pengajar TVET akan digalakkan untuk menjalani latihan kemahiran dan latihan kemahiran semula supaya seiring dengan perkembangan teknologi baharu muncul.

“Inisiatif untuk menggalakkan penglibatan industri juga diberi keutamaan, sehingga Julai ini 43 memorandum persefahaman (MoU) telah dimeterai melibatkan 12 kementerian berkaitan TVET dengan pihak-pihak industri,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya