Klinik Kesihatan Padang Besar mula operasi 25 September - Utusan Malaysia

Klinik Kesihatan Padang Besar mula operasi 25 September

ABDUL Rahman Mohamad (tiga dari kiri) melihat sesi penyerahan dokumen antara Mohd Shahril Mohd Said (tiga dari kanan) dan Zairi Mat Ali (dua dari kiri) sewaktu Majlis Penyerahan Klinik Kesihatan Padang Besar, Perlis hari ini.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Klinik Kesihatan Padang Besar akan memulakan operasi bermula 25 September ini selepas pelaksanaan pembinaannya selesai sepenuhnya pada 1 Ogos lalu.

Projek Klinik Kesihatan (Jenis 3) yang bermula pada 31 Julai 2019 lalu juga selesai pembinaan sembilan hari lebih awal berbanding tarikh penyiapan asal dengan kos bernilai RM24.3 juta.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, klinik berkenaan yang dibina di atas tanah berkeluasan 0.18 hektar itu mampu menampung sekitar 300 hingga 400 pesakit bagi satu masa.

“Antara skop bagi projek ini yang dilaksanakan oleh kontraktor adalah meliputi kerja bangunan, kerja tanah/cerun dan kerja luar.

“Projek ini diwujudkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) untuk memenuhi keperluan kesihatan bagi penduduk sekitar dan menampung pertumbuhan populasi yang tinggi sejajar dengan pembangunan sosio ekonomi di sekitar kawasan ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Klinik Kesihatan Padang Besar di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Bahagian Kanan, Bahagian Pembangunan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Zairi Mat Ali; Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya-Sektor Bangunan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, Ir. Badioezaman Ab. Khalik dan Pengarah JKR negeri, Mohd Shahril Mohd Said.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, pelaksanaan projek itu meliputi pembinaan satu unit Klinik Kesihatan Jenis 3 (dua tingkat), satu unit kuarters 2F/2G, blok sokongan, garaj ambulans, blok pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB), pondok pengawal, rumah pam dan rumah sampah.

“Projek ini menggunakan kaedah Sistem Binaan Industri (IBS) dan mengaplikasikan reka bentuk Pre-Approve Plan (PAP),” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, terdapat beberapa cabaran dihadapi sepanjang tempoh pembinaan projek itu antaranya kekangan bagi mendapatkan bahan blasting untuk tujuan penyediaan formasi tapak berikutan geologi asal tanah yang berbatu.

Katanya, pelaksanaan projek itu juga merupakan komitmen kerajaan dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik buat rakyat.

“Semoga dengan terbinanya Klinik Kesihatan Padang Besar ini dapat memberi manfaat dan memenuhi keperluan kesihatan penduduk setempat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya