KKP Perak arah henti operasi tapak kuari - Utusan Malaysia

KKP Perak arah henti operasi tapak kuari

LOKASI kejadian runtuhan batu kuari menyebabkan seorang pekerja maut di Keramat Pulai, Ipoh kelmarin. - UTUSAN/JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tapak kuari di Keramat Pulai di sini, telah diarah menghentikan operasi susulan kematian seorang pekerja warga asing di tapak berkenaan yang ditimpa runtuhan batu, kelmarin.

Dalam kejadian sekitar pukul 10.30 pagi itu, seorang lelaki warga Pakistan, Sohail Sajjad, 36, maut akibat kecederaan parah selepas ditimpa runtuhan batu ketika menjalankan kerja-kerja memindahkan batu kuari.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Dr. Rabaayah Daud berkata, sepasukan pegawai penyiasat telah diarahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati mangsa merupakan pemandu jengkaut bagi sebuah syarikat kontraktor yang dilantik untuk membuat kerja-kerja memindahkan batu kuari dari kawasan kuari berkenaan.

“Semasa kejadian mangsa bersama tiga rakan sekerjanya sedang menjalankan kerja-kerja mengalihkan batu kuari menggunakan jengkaut ke dalam lori.

“Runtuhan batu telah menyebabkan mangsa dihempap batu kuari. Operasi menyelamat telah dijalankan oleh pihak bomba, namun mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, arahan henti operasi di tapak kuari berkenaan dikeluarkan terhadap majikan sehingga tindakan penambahbaikan diambil oleh mereka.

Katanya, JKKP Perak akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam berikutan majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja.

“Majikan bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat analisa risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya