SHAH ALAM: Kementerian Kesihatan dilaporkan berada dalam kesiapsiagaan pada tahap tinggi menghadapi segala kemungkinan berlaku ancaman penyakit X di negara ini.
Timbalan Menterinya, Lukanisman Awang Sauni berkata, persediaan itu antaranya berdasarkan pengalaman menangani situasi pandemik Covid-19 sebelum ini.
“Penyakit X yang dijangka menjadi pandemik pada masa depan itu sememangnya belum dikenalpasti setakat ini. Namun, kita akan sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang pandemik berbekalkan pelbagai pengalaman termasuk Covid-19.
“Saya berharap rakyat tidak bimbang dan maklumat mengenai sebarang penyebaran penyakit atau virus akan terus diuar-uarkan kepada umum,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Bulan Kesihatan Lotus’s, hari ini.
Minggu lalu, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa memaklumkan bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan memberi amaran kepada semua negara jika berlaku ancaman penyakit X berkenaan.
Namun, di peringkat Malaysia, KKM sentiasa membuat pemantauan jika ada muncul penyakit-penyakit baharu seperti yang diperkatakan.
Pakar kesihatan global sebelum ini percaya ancaman pandemik besar seterusnya semakin hampir dan boleh meragut sehingga jutaan nyawa berbanding Covid-19.
Ia digelar sebagai penyakit X oleh WHO dan dijangka boleh berlaku pada bila-bila masa dan menyarankan penyediaan segera vaksin sebagai tindak balas cepat selepas dunia berada pada situasi ‘tidak bersedia’ ketika Covid-19 pada awal 2020.
Mengulas lanjut, kata Lukanisman, pihaknya mengakui wujud kegusaran rakyat yang baru saja mendepani pasca Covid-19.
“Selain keadaan kesihatan, ia melibatkan faktor psikologi yang masih terkesan dengan pandemik itu. Namun, KKM memberi jaminan akan memperhalusi segala pengalaman yang ada sebagai panduan menghadapi sebarang kemungkinan kelak,” ujarnya. – UTUSAN