KKM sedia beri vaksin influenza - Dr. Zaliha

KKM sedia beri vaksin influenza – Dr. Zaliha

DR. ZALIHA Mustafa (dua dari kanan) mendengar penjelasan mengenai alat pembedahan robotik jenis Da Vinci XI ketika melawat tapak pameran sempena Persidangan Pengurusan Hospital Asia 2023 di Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) sedia memberi vaksin kepada orang ramai jika penularan wabak influenza di negara ini semakin meningkat dan tidak terkawal.

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, keutamaan vaksin akan diberi kepada kumpulan barisan hadapan (frontliners) dan seterusnya akan diberikan kepada orang awam.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini wabak tersebut masih terkawal.

“Jangkitan kes influenza masih terkawal dan semua fasiliti kesihatan sedia ada mampu menampung pesakit sekiranya ada berlaku peningkatan dalam masa terdekat.

“Setiap fasiliti kesihatan awam juga disediakan pusat saringan demam bagi menangani kes yang mempunyai gejala influenza,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Hospital Asia 2023 di Kuala Lumpur, hari ini.

Influenza boleh menyebabkan jangkitan teruk pada paru-paru serta organ lain, selain peningkatan risiko sakit jantung.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis perasmian persidangan itu, Dr. Zaliha berkata, KKM merancang untuk mendigitalisasikan perkhidmatan kesihatan pada tahun 2030 untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Katanya, ia bukan sahaja untuk sistem kesihatan malah melibatkan semua fasiliti KKM yang lain.

Menurutnya, KKM menyedari kepentingan teknologi ini dan telah berusaha gigih untuk menyepadukannya ke dalam sistem penjagaan kesihatan di negara ini.

“Inovasi ini bukan sahaja meningkatkan penjagaan pesakit tetapi juga meningkatkan kecekapan keseluruhan penyampaian penjagaan kesihatan,” katanya.

Seramai 1,000 delegasi dari dalam dan luar negara hadir pada majlis perasmian itu yang menampilkan 60 ahli panel terdiri daripada pakar-pakar perubatan.

Dr. Zaliha berkata, persidangan itu merupakan salah satu platform di mana ia bukan fokus kepada pengurusan hospital semata-mata, tetapi ruang untuk berkongsi pengalaman dan pembelajaran daripada negara-negara Asia yang lain.

Pada masa yang sama, beliau turut menyentuh mengenai Skim Perubatan Madani yang telah dilancarkan pada Jun 2023.

“Skim tersebut bertujuan untuk membantu rakyat golongan B40 mendapatkan perkhidmatan di klinik swasta yang berdekatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya