PETALING JAYA: Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66, pempengaruh selebriti, Hafiz Mahamad buat pertama kalinya tampil menerbitkan sebuah filem pendek berbentuk eksperimental, Kisah Merdeka.
Menurut Hafiz, filem pendek hasil garapan produksinya sendiri itu membariskan isteri tercintanya, Syafiqah Aina sebagai pelakon utama selain khidmat pelakon legenda, Datuk Rahim Razali sebagai suara latar.
“Saya dan isteri menghasilkan sebuah karya sempena bulan kemerdekaan, Kisah Merdeka. Filem pendek ini digarap serta diterbitkan sendiri oleh pasukan produksi Ainaa Beauty.
“Kisah Merdeka dihasilkan dalam masa yang singkat sahaja. Filem pendek ini mengisahkan perbezaan dua zaman iaitu zaman dahulu (sekitar 1940) dan zaman terkini (2023),” katanya.
Bercerita lebih lanjut, Hafiz berkata, Kisah Merdeka menceritakan mengenai masyarakat yang dijajah pada zaman dahulu oleh pihak komunis dan pada masa sama ada segelintir masyarakat kini masih dijajah melalui mentaliti yang suka mengutuk dan mengejek kekurangan orang lain.
“Kesusahan, kelemahan luaran sentiasa menjadi ‘subjek’ penjajah pada mereka yg lemah. Teknologi pula adalah ‘senjatanya’. Nenek moyang kita ajarkan kita mengenai ‘bersatu’ agar menjadi bangsa yang kuat. Jika ada yang lemah, pasti akan ada hadir untuk membantu.
“Objektif cerita ini adalah untuk memberikan kesedaran jangan salah menggunakan kemodenan teknologi untuk menghina individu yang kelihatan lemah.
“Ia diadaptasi daripada kisah sebenar pengguna Ainaa Beauty yang berhadapan dengan cemuhan netizen disebabkan masalah kulit muka mereka,” katanya.
Kisah Merdeka, adalah permulaan kepada 11 siri cerita yang akan dipaparkan tidak lama lagi yang berkisarkan perjalanan individu berdepan hinaan masyarakat.
Filem pendek kedua, Kita Merdeka yang sudah dimuat naik sejak dua hari lalu sudah meraih lebih 875,000 tontonan dan 4,000 komen di Instagram Hafiz Mahamad.
Bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan, Hafiz memaklumkan dia bakal memilih tujuh pemenang terbaik di ruangan komen Instagram miliknya dengan hanya berkongsi kisah peribadi berdasarkan filem pendek Kisah Merdeka sekali gus membawa pulang RM300.