KUALA LUMPUR: Keterangan Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selesai diambil di pejabatnya di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Jalan Sentral di sini.
Muhyiddin tiba di bangunan berkenaan kira-kira pukul 9.15 pagi tadi sebelum keluar pukul 11.58 pagi dari bangunan berkenaan.
Selepas hampir tiga jam di bangunan tersebut, Muhyiddin keluar bersama pengiringnya tanpa membuat sebarang kenyataan berhubung kehadirannya di pejabat MIDA.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd Zain kepada Utusan Malaysia mengesahkan mengambil keterangan Muhyiddin sekali lagi.
“Saya sahkan,” katanya.
Utusan Malaysia difahamkan tindakan itu akan dilakukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman di bawah Seksyen 4(A) Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.
Pada 3 September lalu, bekas Perdana Menteri itu didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dalam ceramah kempen DUN Simpang Jeram, Johor.
Ucapannya itu turut dikongsi menerusi halaman Facebook yang mana mengandungi dakwaan Melayu pada hari ini tidak lagi menguasai kerajaan, maknanya orang Melayu sudah hilang kuasa, sedar ataupun tidak, betul ataupun tidak. -UTUSAN