Kesan kecederaan Nazrin tidak konsisten dengan letupan

Kesan kecederaan Nazrin tidak konsisten dengan letupan -Pendakwaan

SAMIRAH Muzaffar (bertudung biru) ketika keluar dari mahkamah selepas pendengaran rayuan pendakwaan berhubung lepas bebas dirinya dan dua remaja daripada tuduhan membunuh CEO Cradle Fund, Nazri Hassan di Mahkamah Rayuan, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pihak pendakwaan memberitahu Mahkamah Rayuan di sini hari ini bahawa kecederaan pada tubuh bekas Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan tidak konsisten dengan letupan.

“Sekiranya berlaku letupan (daripada telefon bimbit), telinga mangsa akan terkoyak, namun, ia masih lagi elok. Pakar Telinga, Hidung dan Tekak, Dr. Zulkiflee Abu Bakar turut mengesahkan telinga Nazrin masih elok, ujar Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail.

Selain itu, pihak pendakwaan menyatakan, kecederaan yang menembusi kepala mangsa juga tidak dapat dipastikan berpunca daripada objek apa.

“SP46 (pakar patologi, Dr Siew Sheue Feng) dengan jelasnya menyatakan tukul boleh menyebabkan ‘depressed fracture’ tetapi SP46 bingung tentang track 6.8cm tersebut yang ditemukan ketika CT scan dibuat. SP46 menyatakan tukul boleh menjelaskan kecederaan patah tetapi tidak menjelaskan tentang track (laluan) 6.8cm tersebut,” kata pendakwaan itu.

Pada perbicaraan sebelum ini, Dr. Siew dalam keterangannya terdapat kecederaan menembusi otak Nazrin seperti `dicucuk’.

Tengku Intan berkata demikian ketika berhujah dalam rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Samirah Muzaffar, 48, yang juga balu Nazrin serta dua remaja yang kini berumur 20 dan 17 tahun selepas memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Pada 23 Jun 2022, Jabatan Peguam Negara memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 21 Jun 2022 yang membebaskan Samirah dan kedua-dua remaja daripada pertuduhan membunuh Nazrin. 

Pada 30 Jun 2022, Samirah dan kedua-dua remaja turut memfailkan rayuan bagi mencabar penemuan fakta tertentu oleh Mahkamah Tinggi termasuk kebakaran yang berlaku di bilik Nazrin ‘dilakukan dengan sengaja’.

Sementara itu, seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Amril Johari turut menghujahkan bahawa tempat kejadian (bilik tidur) merupakan lokasi jenayah yang direka (staged crime scene).

Hujahnya, kesan terbakar pada tombol pintu dilakukan dengan sengaja bagi memberikan gambaran bahawa pintu tersebut terkunci akibat disambar api.

“Terdapat seseorang yang dengan sengajanya mengunci tombol pintu tersebut dari luar dan tidak mungkin tombol tersebut terkunci dengan sendirinya dari dalam memandangkan kebakaran tidak merebak ke pintu tersebut. 

“Kesan terbakar pada tombol tersebut juga sengaja dilakukan kerana tiada sebarang kebakaran pada pintu tersebut, hanya kesan jelaga sahaja.

“Kesan kebakaran pada tombol juga dilakukan tombol itu terkunci disebabkan oleh kebakaran atau haba kebakaran dan ini adalah merupakan satu persediaan untuk mencipta satu ‘staged crime scene’, kata Mohd. Amril.

Selain itu, Mohd. Amril memberitahu, saksi pendakwaan ke-50, pakar patologi kedua, Dr. Prashant Naresh Samberkar menyatakan, terdapat kesan post-mortem hipostasis di bahagian belakang mayat yang menunjukkan mayat mangsa dialihkan.

“Bukan itu sahaja, kewujudan percikan darah pada dinding di bahagian kepala katil yang mana kemudiannya disahkan positif asid deoksiribonukleik (DNA) si mati turut membuktikan perkara yang sama. Bagaimana boleh dijumpai darah simati pada dinding sedangkan mayat si mati dijumpai di atas lantai?,” kata Mohd. Amril.

Tambah pendakwa itu, penemuan kesan darah itu adalah konsisten dengan kesan terkena objek tumpul dan bukannya kesan tembakan atau letupan. 

“SP39 (pegawai forensik mengkaji percikan darah, Asisten Superintendan, Mohd. Nizam Husain mengesahkan bahawa kesan darah yang dijumpai di dinding tempat kejadian adalah konsisten dengan kesan terkena objek tumpul dan bukan kesan tembakan mahupun letupan.

“SP39 turut mengesahkan bahawa kesan darah yang terjadi pada dinding adalah sebelum kebakaran kerana ia wujud di sebalik jelaga kebakaran,”kata Timbalan Pendakwa Raya itu.

Rayuan yang didengar di hadapan panel tiga hakim yang diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azhahari Kamal Ramli bersambung 17 Oktober ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN