Kes penahanan salah bekas anggota ATM: Mahkamah benarkan rayuan kerajaan, batal ganti rugi RM300k

Kes penahanan salah bekas anggota ATM: Mahkamah benarkan rayuan kerajaan, batal ganti rugi RM300k

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan sebentar tadi membenarkan rayuan kerajaan berhubung kes penahanan salah seorang bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpangkat renjer selama 311 hari.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama-sama Datuk Azimah Omar dan Datuk Wong Kian Kheong sebulat suara memutuskan demikian selepas mendapati Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu telah terkhilaf dalam keputusannya yang dibuat pada 12 September 2022.

Pada tarikh tersebut, Mahkamah Tinggi Kota Bharu membenarkan saman Mohamad Maliki Abdul Halim dan memerintahkan kesemua perayu untuk membayar ganti rugi secara global RM300,000 selepas mendapati lelaki berkenaan telah ditahan tanpa mengikut undang-undang.

Mahkamah terbabit turut memerintahkan Kerajaan Malaysia, Pegawai Memerintah Batalion ke-5 Rejimen Renjer Diraja, Leftenan Kolonel Shifullizan Abd. Aziz, pihak berkuasa sidang Panglima Bridged Kelapan Infantri Malaysia dan Panglima Angkatan Tentera yang dinamakan sebagai defendan untuk membayar kos sebanyak RM30,000.

Ketika membaca penghakiman ringkas panel Mahkamah Rayuan, Hakim Azizah menyatakan, isu utama ialah sama ada tahanan reman daripada 26 Ogos 2014 sehingga 2 Julai 2015 adalah sah atau sebaliknya.

“Selepas mempertimbangkan hujah kedua-dua pihak, kami berpendapat bahawa daripada pembacaan Seksyen 96(3) Akta Angkatan Tentera 1972 adalah jelas menunjukkan tatacara pelaksanaan undang-undang ketika siasatan, jika terdapat sebarang pertuduhan yang tidak dikendalikan secara rumusan, tertuduh akan ditahan reman sehingga dibicarakan di Mahkamah Tentera.

“Oleh itu kami dapati Pesuruhjaya Kehakiman telah terkhilaf dalam menafsir Seksyen 96 (3) itu. Oleh itu kami membenarkan rayuan dan keputusan hakim terdahulu diketepikan.

“Ekoran daripada keputusan ini juga, kami turut menolak rayuan yang dikemukakan oleh responden (Mohamad Maliki). Kos ditetapkan sebanyak RM40,000,”kata hakim itu.

Pada Mei 2018, Maliki memfailkan saman tersebut atas alasan dia telah ditahan secara salah selepas didapati positif dadah dalam satu operasi pencegahan di Batalion 5 Rejimen Renjer Diraja, Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan.

Mohamad Maliki mendakwa, akibat penahanan salah tersebut, haknya bersama isteri serta kehidupannya telah terjejas. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN