Kes bakar tahfiz: Pemuda 22 tahun kekal ditahan dipenjara di bawah perkenan Agong

Kes bakar pusat tahfiz: Pemuda 22 tahun kekal ditahan di penjara di bawah perkenan Agong

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang pemuda berusia 22 tahun kekal ditahan di penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong selepas Mahkamah Rayuan sebentar tadi mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya kerana membunuh 23 penghuni Darul Quran Ittifaqiyah dalam kejadian kebakaran, enam tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Datuk Abu Bakar Jais (kini hakim Mahkamah Persekutuan) memutuskan demikian secara sebulat suara selepas menolak rayuan pemuda itu (penama pertama).

Mahkamah berpuas hati bahawa penama pertama bukan sahaja bertanggungjawab memulakan kebakaran, malah mengetahui perbuatannya boleh menyebabkan bencana tubuh kepada 23 mangsa dalam kejadian menyayat hati itu.

Panel itu turut berpendapat, keterangan pihak pendakwaan sebegitu kuat bahawa penama pertama merupakan pihak yang bertanggungjawab memanjat pagar belakang tahfiz untuk memulakan kebakaran.

Hakim Abu Bakar yang bersidang bersama-sama Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan keempat-empat elemen bagi mensabitkan pemuda itu terhadap kesemua pertuduhan.

Mahkamah bagaimanapun mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan seorang lagi pemuda berusia 22 tahun terhadap pertuduhan sama, selepas menolak rayuan pendakwa raya.

Dalam kejadian 14 September 2017, seramai 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz yang marak dijilat api.

Pada 28 Januari 2020, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan penama kedua tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan dihadapinya.

Pada 17 Ogos 2020, Hakim Datuk Azman Abdullah bagaimanapun mendapati penama pertama bersalah dan mengenakan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong kerana perayu yang ketika itu berusia 16 tahun merupakan pesalah kanak-kanak.

Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun namun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Kedua-duanya yang ketika kejadian berusia 16 tahun, didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini di antara 4.15 pagi dengan 6.45 pagi, pada 14 September 2017.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN