Kes Awal Ashaari selesai, pendakwa tarik balik kes

Kes Awal Ashaari selesai, pendakwa tarik balik kes

AWAL Ashaari (kiri) bersama M. Reza Hassan bergambar di pekarangan Mahkamah Majistret Petaling Jaya selepas tuduhan melakukan khianat selesai. UTUSAN/INSTAGRAM AWAL ASHAARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pihak pendakwaan hari ini menarik balik pertuduhan terhadap pengacara popular, Awal Ashaari berkaitan dakwaan melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar pondok pengawal milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara, tahun lalu.

Ekoran itu, Mahkamah Majistret di sini menggugurkan pertuduhan terhadap selebriti tersebut atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 42.

Perkara itu disahkan oleh peguam Datuk M. Reza Hassan yang mewakili Awal Ashaari manakala prosiding berlangsung di hadapan Majistret Farah Azura Mohd. Saad.

Ketika dihubungi wakil media, peguam itu berkata, pihak pendakwaan tidak berhasrat meneruskan kes tersebut berikutan pihak pengadu membuat laporan polis untuk menarik balik kes terhadap anak guamnya.

“Pengadu dalam kes ini menarik balik laporan polis terhadap Awal kerana perkara itu telah diselesaikan. Oleh itu, pendakwa raya menarik balik pertuduhan dan mahkamah menggugurkan pertuduhan dihadapi anak guam saya,” kata peguam itu.

Pada 17 Mei tahun 2022, Awal Ashaari mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan khianat merosakkan palang pagar milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara.

Mengikut pertuduhan, selebriti itu didakwa melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar milik pengurusan Challis Damansara dengan kerugian sebanyak RM600 di pondok pengawal perumahan itu di Jalan PJU 3/30 pukul 11.30 pagi pada 16 April 2022.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di laman Instagram milik personaliti itu mendapati selebriti itu memuat naik gambar dan hantaran yang menyatakan kes dihadapinya telah selesai.

“Alhamdulillah, hari yang baik buat kami semua. Setelah sekian lama, kes saya telah selesai kerana pertuduhan terhadap saya telah ditarik balik di mahkamah ini pagi ini.

“Thank you, semoga Allah merahmati kita semua. Kepada (peguam saya) Datuk M. Reza, terima kasih kerana sentiasa menyokong saya,” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN