Kes Ahmad Zahid: Muda ancam tarik sokongan Kerajaan

Kes Ahmad Zahid: Muda ancam tarik sokongan Kerajaan Perpaduan

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia Muda (Muda) mengancam keluar daripada Kerajaan Perpaduan jika tiada penjelasan terperinci daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung keputusan mahkamah yang melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada pertuduhan rasuah. 

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, dalam mesyuarat parti yang diadakan semalam, Muda menganggap keputusan itu adalah salah satu ‘garis merah’ yang sudah dilanggar. 

Dengan itu, katanya, sebelum keluar daripada kerajaan, Muda akan menggerakkan kempen protes di jalanan dan juga di media sosial jika beberapa tuntutannya tidak ditunaikan. 

“Muda tidak teragak-agak untuk menilai kedudukan kami dalam Kerajaan Perpaduan. Sebab itu, Muda ambil langkah menggerakkan kempen protes di jalan raya dan media sosial. 

“Kami mendesak tiga perkara dilakukan dan jika tidak ditunaikan, kami akan mengambil tindakan (keluar dari kerajaan),” katanya kepada pemberita dalam sidang media tergempar di sini hari ini.

Muda dalam kenyataan menuntut tiga perkara iaitu menggesa AGC menjelaskan di Parlimen mengenai keputusan melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid apabila mahkamah memutuskan terdapat prima facie; mengasingkan kuasa Peguam Negara dengan Pendakwa Raya dengan segera dan mengadakan kempen #DakwaZahid bagi menggesa Pendakwa Raya mendakwa  beliau semula. 

Sebelum itu, Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz terlebih dahulu menyuarakan dalam sidang media sama yang mana partinya akan mengambil ‘keputusan keras’ berhubung kedudukan mereka dalam kerajaan jika tiada tindakan lanjut diambil. 

“Muda minta semua Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan beri kenyataan mereka berkenaan isu ini. Ini penting kerana Kerajaan Perpaduan dibentuk atas dasar percaya akan bersungguh-sungguh melawan rasuah. Ini juga sebab mengapa Muda bentuk kerajaan hari ini. 

“Saya juga menegaskan dalam mesyuarat lepas, Muda tidak akan teragak-agak mengambil keputusan keras tentang kedudukan Muda dalam Kerajaan Perpaduan jika tiada tindakan lanjut daripada kerajaan dan pimpinan tertinggi Malaysia,” katanya.  

Amira Aisya mempersoal jika ada pendakwaan baharu akan dibuat oleh AGC sedangkan kes Ahmad Zahid sudah sampai di peringkat pembelaan. 

“Jika ada, apakah garis masanya? Ini satu perkara yang AGC perlu jelaskan kepada rakyat? Hal ini kerana ini bukan kes kecil tetapi berprofil tinggi. 

“Kedua, apakah tanggungjawab AGC untuk mengurus persepsi dan menambah keyakinan orang ramai apabila belum ada penjelasan berkenaan kes Ahmad Zahid? Jawapan ini perlu diberi segera kerana orang ramai sudah membuat persepsi sendiri. 

“Ketiga, adakah keputusan Ahmad Zahid ini akan menjadi kes duluan (precedent) kepada mana-mana ahli politik akan dibawa ke mahkamah? Adakah selepas ini, jika kes lain masuk peringkat bela diri, AGC boleh mohon untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA)?,” soalnya.

Selepas 77 hari dibicara, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membenarkan permohonan AGC supaya prosiding perbicaraan diberhentikan bagi kesemua pertuduhan terhadap Ahmad Zahid. 

Hakim Collin berkata, pendakwaan melalui Peguam Negara menjalankan kuasanya mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) dan memohon DNAA.

Pihak pendakwaan memohon menghentikan prosiding yang sedang berada di peringkat bela diri dengan 15 saksi pembelaan termasuk Ahmad Zahid sudah memberi keterangan.

Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan pasukan pembelaan supaya Ahmad Zahid dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan-pertuduhan yang dihadapinya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya