Kertas siasatan Jasmine Loo sudah dirujuk AGC

Kertas siasatan Jasmine Loo sudah dirujuk AGC

JASMINE LOO AI SUAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kertas siasatan membabitkan peguam 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) pada Ogos lalu bagi tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan di bawah Akta Pencegahan Wang Haram (AMLA) 2001 masih diteruskan ketika ini bagi mengesan aset-aset lain milik Jasmine Loo.

“Siasatan Jasmine Loo di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kita hantar kepada AGC sejak awal lagi.

“Seperti yang dimaklumkan, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay pada dua hari lalu, banyak rampasan yang akan dibuat dan kita masih teruskan lagi,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis penutup Simposium Forensik Kebangsaan ke-4 2023 di Maktab Polis Diraja Malaysia, di sini hari ini.

Dalam pada itu, ditanya adakah usaha menjejaki ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low masih jauh, Razarudin berkata, pihaknya sama sekali tidak pernah berhenti menjejaki ahli perniagaan itu.

“Saya sudah cakap sebelum ini. Jerat tidak pernah lupakan pelanduk. 

“Sama juga seperti Jasmine Loo, orang tidak bertanya mengenai keberadaan dia sebelum ini, tetapi, kita (polis) berjaya bawa balik..sama juga seperti Jho Low,” jelasnya. 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sudah memulakan soal siasat terhadap bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo sejak Isnin lalu.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, Jasmine Loo kini disiasat berhubung jenayah rasuah dan pengubahan wang haram.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan, pihaknya berjaya mendapatkan semula kira-kira RM93.2 juta aset merangkumi hartanah dan akaun bank milik Jasmine Loo yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1MDB.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, kesemua aset dan hartanah berkenaan dipercayai berada di beberapa negara luar iaitu di Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura.

Ayob berkata, turut dirampas hasil daripada dana 1MDB iaitu dua utas jam tangan mewah iaitu jenama Richard Mille dan Harry Winston dan 13 buah beg tangan termasuk jenama Birkin dan seutas gelang tangan dan pelbagai dokumen.

Jasmine Loo yang juga sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low ditahan polis pada 7 Julai lalu bagi membantu siasatan isu penyelewengan dana syarikat berkenaan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN