Kereta penyeludup terbabas dalam Hospital USM

Kereta penyeludup terbabas dalam Hospital USM

HOSPITAL USM Kubang Kerian Kelantan kecoh kereta dipandu penyeludup terbabas di hadapan pejabat pembangunan ketika cuba meloloskan diri daripada ditahan anggota unit kereta peronda polis. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) Kubang Kerian di sini kecoh selepas sebuah kereta jenis Proton Gen2 yang dipandu penyeludup terbabas di hadapan pejabat pembangunan ketika cuba meloloskan diri daripada ditahan anggota unit kereta peronda polis (MPV) hari ini.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin bagaimanapun berkata, suspek berusia 29 tahun berjaya ditahan pihaknya hasil bantuan orang ramai yang berada di lokasi kejadian.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas kereta itu menjumpai 30 tong minyak diesel yang dipercayai mahu diseludup ke negara jiran.

“Semakan mendapati, suspek mempunyai dua rekod lampau berkait dadah.

“Kesemua barang kes yang dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Mohamad Ismail memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Terdahulu pihak MPV menerima arahan dari Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok untuk memberi bantuan kepada pihak KPDN bagi menahan sebuah kereta.

“Kereta itu sedang melalui jalan dari arah Melawi ke Beris Kubur Besar, Bachok. Anggota MPV yang ternampak kereta tersebut telah cuba menahannya namun pemilik enggan memberi kerjasama.

“Pasukan MPV Bachok menghubungi MPV Kota Bharu untuk bantuan selepas suspek melarikan diri ke kawasan Hospital USM sebelum terbabas,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN