Kerani wanita rugi RM326,100 jadi mangsa 'phone scam' - Utusan Malaysia

Kerani wanita rugi RM326,100 jadi mangsa ‘phone scam’

V. SARAVANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Seorang kerani wanita berusia 51 tahun kerugian RM326,100 selepas menjadi mangsa penipuan ‘phone scam’, baru-baru ini.

Difahamkan, mangsa telah membuat transaksi secara berperingkat menerusi enam akaun berasingan sejak Julai hingga Ogos lalu, sebelum membuat laporan polis Isnin lalu, selepas menyedari menjadi mangsa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden V. Saravanan berkata, mangsa mula terjerat selepas menerima panggilan telefon daripada seorang suspek (suspek pertama) yang mengaku sebagai pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Jelasnya, mangsa dimaklumkan oleh suspek kononnya terlibat dalam kes kecurian pendawaian elektrik dan pengubahan wang haram.

“Panggilan telefon itu telah disambung kepada seorang individu lain (suspek kedua) kononnya daripada agensi pihak berkuasa dan mendakwa mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini hari ini.

Menurut Saravanan, mangsa seterusnya disambungkan panggilan telefon kepada suspek ketiga yang memintanya memindahkan wang ke beberapa akaun bank tempatan berbeza bagi tujuan siasatan.

“Suspek memberitahu mangsa wangnya akan dikembalikan semula selepas mangsa hadir ke Mahkamah George Town, 30 Ogos lalu.

“Bagaimanapun, mangsa mula menyedari ditipu apabila suspek sering meminda tarikh untuk dia hadir ke mahkamah dan mangsa turut diminta membuat pindahan wang dari akuan bank luar negara sekiranya ada.

“Mangsa kemudiannya membuat laporan polis dan kes masih disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau, sebanyak 905 kes penipuan membabitkan ‘phone scam’ dilaporkan di daerah Timur Laut sepanjang Januari hingga semalam.

”Jumlah kerugian yang dialami kesemua mangsa mencecah jutaan ringgit.

“Oleh itu, polis menyeru supaya orang ramai tidak mudah terpedaya dengan tipu helah dan taktik yang digunakan oleh sindiket penipuan yang menyamar sebagai pihak berkuasa atau mana-mana agensi kerajaan dengan tujuan menakut-nakutkan mangsa,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya