Keputusan rayuan saman fitnah Sultanah Terengganu 12

Keputusan rayuan saman fitnah Sultanah Terengganu 12 Disember ini

SULTANAH NUR ZAHIRAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keputusan rayuan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berhubung kes saman fitnahnya terhadap pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dan dua lagi akan dibuat pada 12 Disember ini.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail dan bersidang bersama-sama Hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azhahari Kamal Ramli menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujahan ringkas daripada pihak-pihak terlibat.

Turut serta pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian ialah peguam, A. Vishnu Kumar mewakili Sultanah Nur Zahirah manakala Clare selaku responden diwakili peguam, Americk Sidhu.

Americk turut mewakili penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin dan pencetak Vinlin Press Sdn. Bhd. yang mencetak dan menerbitkan buku ‘The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose’.

Sultanah Nur Zahirah memfailkan rayuan tersebut selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membatalkan samannya pada 31 Oktober 2022.

Mahkamah Tinggi ketika itu memutuskan Clare dan dua lagi tidak memfitnah Sultanah Nur Zahirah dalam buku ‘The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose’.

Sebaliknya, mahkamah memutuskan bahawa apa yang berlaku ialah salah identiti yang serius.

Sultanah Nur Zahirah memfailkan saman tersebut pada 21 November 2018. 

Dalam pernyataan tuntutan, Sultanah Nur Zahirah mendakwa Clare membuat pernyataan yang memalukan terhadap baginda dalam buku The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose.

Sultanah Nur Zahirah mendakwa, kenyataan itu memberi gambaran bahawa baginda terlibat dalam amalan rasuah dan mencampuri pentadbiran Terengganu selain menggunakan statusnya untuk mempengaruhi penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA) yang kemudian menjadi 1MDB.

Baginda mendakwa kenyataan itu juga memberi gambaran yang baginda menolong ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau Low Taek Jho untuk menjadi penasihat TIA.

Sultanah Nur Zahirah mendakwa kenyataan tersebut memfitnah dan merosakkan reputasi baginda kerana baginda tidak pernah mencampuri pentadbiran negeri dan penubuhan TIA.

Baginda menuntut ganti rugi am RM100 juta daripada setiap defendan dan memohon perintah terhadap defendan kedua (penerbit) menarik balik buku itu yang mengandungi kenyataan fitnah dan terhadap defendan ketiga supaya berhenti mencetak buku itu seterusnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN