Keputusan kes Syed Saddiq bebas atau disabitkan 9 November ini

Keputusan kes Syed Saddiq bebas atau disabitkan 9 November ini

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman disabitkan atau dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA), akan diumumkan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 9 November ini.

Tarikh tersebut diperoleh oleh pihak media menerusi semakan sistem kehakiman mahkamah hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika dihubungi turut mengesahkan tarikh tersebut.

Nasib Ahli Parlimen Muar itu akan ditentukan oleh Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid selepas pihak pembelaan menutup kes pada 14 Mac lalu dengan mengemukakan keterangan empat saksi termasuk Syed Saddiq.

Pada 27 September 2022, pendakwaan menutup kesnya selepas 30 saksi selesai memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 21 Jun 2022.

Pada 10 April dan 11 April lalu, Hakim Azhar mendengar penghujahan Wan Shaharuddin dan Mohd. ‘Afif Ali serta peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq.

Antara hujah yang dibangkitkan oleh Wan Shaharuddin ialah Syed Saddiq tidak boleh menggunakan wang dalam akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) untuk menggantikan wangnya sendiri yang kononnya  didahulukan untuk menjayakan kempen politik pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Akaun ABBE milik Rafiq Hakim Razali (saksi pendakwaan ke-13 (SP13) itu digunakan untuk dua program meraih dana melalui majlis makan malam di Ampang, Selangor dan Muar yang mana kesemua bayaran untuk majlis itu dimasukkan ke dalam akaun tersebut.

Pendakwaan menghujahkan, pada 8 April 2018, Syed Saddiq menghubungi telefon bimbit SP13 dan mengarahkan beliau memindahkan wang hasil program meraih dana berjumlah RM120,000 daripada akaun ABBE ke dalam akaun peribadinya.

Oleh yang demikian, Wan Shaharuddin berhujah, bukti dan keterangan kes jelas menunjukkan Syed Saddiq secara tidak jujur menyalahgunakan harta tersebut untuk diri sendiri.

Ini kerana katanya, wang berjumlah RM120,000 tersebut tidak digunakan bagi tujuan kempen politik beliau atau mana-mana ahli Armada, sebaliknya dimasukkan ke dalam akaun Maybank miliknya.

Selain itu, Wan Shaharuddin menghujahkan, tertuduh tidak pernah memaklumkan kepada sesiapa bahawa wang daripada kedua-dua program meraih dana adalah untuk menggantikan wang yang kononnya didahulukan ketika kempen PRU14.

Pihak pendakwaan selanjutnya menghujahkan, tiada bukti atau keterangan langsung ditunjukkan kepada mahkamah bahawa hasil kutipan wang meraih dana dari kedua-dua program tersebut telah digunakan untuk kempen PRU14.

Katanya, justeru, dakwaan tertuduh bahawa beliau telah mendahulukan duit peribadi bagi tujuan kempen PRU14 harus ditolak kerana pihak pembelaan gagal membawa apa-apa dokumen, catatan atau saksi yang boleh menyokong tindakannya.

Pendakwaan turut menghujahkan, tiada seorang pun saksi pembelaan dapat menceritakan mengenai status wang RM120,000 tersebut setelah ia kekal tidak dibelanjakan bagi kempen PRU14.

Menurut pendakwaan, setakat keterangan yang ada di mahkamah, RM100,000 daripada wang tersebut telah disalurkan ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) tertuduh.

“Wang tersebut tidak semestinya wang tertuduh. Adakah tertuduh mempunyai hak untuk kononnya menggantikan wang yang telah digunakan sedangkan wang tersebut tidak pernah dibuktikan sebagai wangnya sendiri?

“Justeru, pembelaan tertuduh adalah penafian semata-mata, tidak konsisten serta cacamarba manakala beberapa isu penting yang menjadi teras kepada pembelaan adalah berbentuk pemikiran terkemudian (afterthought) dan rekaan semata-mata,” hujah pendakwaan.

Mahkamah turut mendengar penghujahan pihak pembelaan bahawa tiada bukti menunjukkan Syed Saddiq bersubahat dengan Rafiq Hakim yang ketika itu Penolong Bendahari Armada melakukan pecah amanah dana RM1 juta milik Armada.

Gobind berhujah, bukti keterangan kes menunjukkan kedua-dua bekas pemimpin Armada itu pada setiap masa bertindak demi kepentingan sayap parti tersebut selaras dengan Perlembagaan Bersatu.

Syed Saddiq, 30, didakwa atas empat pertuduhan iaitu bersubahat pecah amanah dan salah guna harta serta dua pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA).

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN