Keputusan Bersatu cabar SPRM sita akaun 30 Oktober ini

Keputusan Bersatu cabar SPRM sita akaun 30 Oktober ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 30 Oktober ini bagi keputusan permohonan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk mencabar tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyita dua akaun bank parti itu.

Dua akaun bank itu merupakan akaun bank yang sama dibekukan oleh agensi terbabit sebelum ini.

Hakim Ahmad Kamal Md. Shahid menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak terlibat di sini hari ini.

Bersatu selaku plaintif menamakan Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Idrus Harun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin dan Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Faridz Gohim Abdullah selaku responden pertama hingga keempat.

Turut dinamakan sebagai responden ialah 15 pegawai SPRM yang menjalankan siasatan dan melaksanakan perintah penyitaan akaun tersebut.

Pada 20 April lalu, SPRM dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya menyita dua akaun bank milik Bersatu bagi membantu siasatan terhadap wang yang disyaki daripada hasil haram.

Terdahulu, peguam Rosli Dahlan ketika berhujah menyatakan, tindakan menyita dua akaun tersebut adalah satu tindakan mala fide (niat jahat), tidak teratur, bertentangan dengan undang-undang.

Tambahnya, sehingga hari ini, SPRM tidak memberikan sebarang notis berhubung penyitaan tersebut walaupun dimohon oleh parti berkenaan berulang kali.

Selain itu, Rosli menghujahkan, akaun tersebut itu pada awalnya dibekukan (sebelum disita) rentetan siasatan yang dijalankan terhadap Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima rasuah berjumlah RM232.5 juta berkaitan Program Jana Ekonomi Pe­merkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wi­ba­wa).

“Bagaimanapun pada 15 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi di sini membebaskan Tan Sri Muhyiddin daripada pertuduhan predikat tersebut. 

“Fakta-fakta yang dinyatakan dalam afidavit menunjukkan salah laku prosedur yang dilakukan berulang kali oleh kesemua responden untuk `mencederakan’ dan memberikan kesan buruk terhadap Bersatu,” kata peguam terbabit.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mewakili Peguam Negara ketika membantah permohonan tersebut menyatakan bahawa perintah untuk menyita akaun tersebut tidak boleh diubah melalui mahkamah sivil.

Tambahnya, isu mengenai penyitaan akaun itu merupakan bidang kuasa Mahkamah Jenayah.

Menurut afidavit yang difailkan Bersatu mendakwa pada 19 April lalu, akaun CIMB dan Ambank miliknya telah disita tanpa membuat serahan perintah penyitaan tersebut di bawah Seksyen 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).

Menurut plaintif, tindakan SPRM membekukan kesemua akaun milik Bersatu secara salah berdasarkan tuduhan-tuduhan palsu, tohmahan dan fitnah jahat secara bersekongkol dengan pemimpin kerajaan untuk menimbulkan kebencian dan kemarahan orang awam terhadap Muhyiddin.

Oleh itu, Bersatu memohon antaranya perintah untuk membatalkan perintah SPRM menyita akaun-akaun Ambank dan CIMB mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (“AMLATFPUAA).

Ia juga memohon perintah supaya SPRM menyerahkan Perintah Penyitaan (yang didakwa salah) yang sehingga kini masih tidak pernah diserahkan kepada BERSATU walaupun diminta berkali-kali yang mencabul hak pemilikan harta parti berkenaanTurut dimohon, satu perintah supaya SPRM membebaskan keseluruhan akaun Bank Bersatu daripada sebarang kekangan dan pembekuan dan selanjutnya perintah supaya CIMB Islamic Bank Bhd dan AmBank (M) Berhad membebaskan akaun berkenaan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN