Kepimpinan tegas Ramanan berjaya bersihkan MITRA - Kumaresan - Utusan Malaysia

Kepimpinan tegas Ramanan berjaya bersihkan MITRA – Kumaresan

A. KUMARESAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kepimpinan tegas Datuk R. Ramanan selaku Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) memberikan satu harapan, kepercayaan dan keyakinan baharu setelah beliau berjaya membersihkan imej badan itu.

Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, A. Kumaresan berkata, hanya dalam tempoh lima bulan sejak memimpin Pasukan Khas MITRA, Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berjaya membuat pelbagai ‘penambahbaikan yang drastik’ untuk mengembalikan semula keyakinan masyarakat India terhadap MITRA.

Kumaresan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban berkata, pendekatan tegas dan berani Ramanan dalam soal integriti dan penyaluran dana perlu diberi pujian.

Tambah beliau, Ramanan juga telah memberi jaminan sebarang penyelewengan membabitkan dana agensi itu tidak akan berulang, iaitu perkara yang diharapkan komuniti India setelah mendengar pelbagai perkara negatif mengenai agensi itu sebelum ini.

“Berdasarkan beberapa pengumuman di MITRA baru-baru ini, jelas sekali kita nampak badan itu kini lebih telus dan berintegriti dalam setiap pengagihan dananya kepada kumpulan sasar.

“Tahniah kepada Ramanan dan juga seluruh pasukan MITRA yang telah dan sedang berkerja bertungkus-lumus untuk memastikan agensi itu berada dilandasan yang betul sepertimana yang diharapkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

R. RAMANAN

“Inilah harapan dan obektif utama Perdana Menteri untuk menubuhkan Pasukan Petugas Khas ini.

“Syabas kepada Ramanan yang berjaya menentukan satu hala tuju yang lebih terjamin, tersusun dan terancang,” katanya di sini hari ini.

Baru-baru ini Ramanan yang juga Timbalan Ketua Penerangan PKR (2) telah mengumumkan peruntukan RM100 juta kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) menerusi Belanjawan 2023 telah diagihkan sepenuhnya dan memanfaatkan lebih 100,000 orang dan proses penyaluran dana sedang berjalan lancar secara berperingkat.

Pengagihan 100 peratus itu adalah pertama kali dicapai sejak 2016 yang mana peruntukan sebanyak RM100 juta masing-masing pada 2016 dan 2017 mencapai pengagihan 35 peratus dan 57 peratus.

Menurut Kumaresan, dilema MITRA sebelum ini adalah dana tidak dapat dibelanjakan dan isu-isu pemulangan semula dana turut sering menjadi kontroversi.

“Untuk tahun 2023, julung kalinya dana RM100 juta dapat diperuntukkan untuk pelbagai inisiatif, program pemerkasaan masyarakat India di negara ini.

“Ini merangkumi aspek pendidikan, ekonomi, sains dan teknologi, pembangunan sekolah Tamil serta peluang pekerjaan yang terjamin,” katanya.

Dalam pada itu, Kumaresan turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri di Parlimen baru-baru ini, yang mana peranan MITRA akan diperkasakan dan diperkukuhkan lagi.

“Perdana Menteri juga cukup prihatin dengan perkembangan di MITRA dan kita sangat berharap peruntukan yang lebih banyak untuk masyarakat India akan diberikan memandangkan dana RM100 juta telah diagihkan sepenuhnya bagi tahun ini.

“Segala maklumat mengenai penerima dana juga didedahkan kepada umum,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya