Kemunculan ‘sang bedal’ resahkan nelayan - Utusan Malaysia

Kemunculan ‘sang bedal’ resahkan nelayan

KELIBAT seekor buaya dilihat berhampiran Pangkalan Nelayan Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, Melaka. – UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Kira-kira 100 nelayan di Pangkalan Nelayan Kuala Sungai Baru dekat sini diselubungi kebimbangan ekoran kemunculan lima ekor buaya bersaiz besar, sedang dan kecil sejak pertengahan bulan lalu.

Kehadiran reptilia itu sewaktu air surut membuatkan mereka tidak lagi berani mencuci bot dan tongkang termasuk mengeluarkan sampah yang terlekat pada bahagian kipas bot.

Ditambah dengan insiden seorang wanita warga emas digigit buaya ketika menangkap udang galah di Sungai Timun, Lubok China tidak jauh dari situ baru-baru ini, ia membuatkan mereka lebih berjaga-jaga mengelak sesuatu tidak diingini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, nelayan, Shahmin Rusali, 33, berkata, dia pernah terserempak seekor buaya besar berada tidak jauh darinya sewaktu membersih­kan tongkang pertengahan bulan lalu.

“Saya terpandang seekor buaya yang boleh dikatakan besar berada atas tanah sewaktu air surut. Bukan setakat itu, beberapa hari selepas itu saya terlihat dua ekor buaya bersaiz sederhana tidak jauh dari tongkang saya ketika reptilia itu sedang makan seekor kera,” katanya ketika ditemui di sini.

Tambah Shahmin yang juga imam di Masjid Kampung Kuala Sungai Baru, le­bih 20 tahun menjadi nelayan, ini kali pertama pangkalan berkenaan menyaksikan kemunculan sang bedal.

Katanya, aduan telah dibuat kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Rosli Abdullah dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Dalam pada itu, seorang lagi nelayan, Mohd. Amin Mamat, 36, berkata, dia pernah ternampak seekor buaya bersaiz sederhana sedang memakan memerang.

“Saya benar-benar terkejut dan tak sangka jeti nelayan di sini ada buaya pelbagai saiz. Saya mulanya tidak percaya apabila seorang rakan memberitahu melihat reptilia itu. Ramai dalam kalangan nelayan tidak lagi berani turun untuk membersihkan bot, apalagi membersihkan kipas bot yang disaluti sampah,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya