KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan tidak pernah dan tidak akan menghentikan perancangan pembinaan dan pembangunan infrastruktur pendidikan di semua negeri.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kelewatan pembinaan diakui berlaku namun pembangunan tidak pernah dihentikan.
“Ada kelewatan tapi kita tidak pernah menghentikan pembangunan. Kalau nak jadi Yang Berhormat, bertanggungjawab masuk dewan (Dewan Rakyat) kena pastikan fakta betul,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) melibatkan kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.
Fadhlina menegutr sikap segelintir Ahli Parlimen yang membangkitkan isu di Dewan Rakyat hanya berasaskan khabar angin.
“Ini adalah Dewan yang sangat penting yang akan memastikan semua pembangunan dilaksanakan, ada jaminan untuk disiapkan.
“Tidak perlu gunakan Dewan ini dengan perkataan merengek-rengek, ‘hearsay’ ini,” katanya.
Beliau dipercayai mengkritik Ahli Parlimen pembangkang yang berulang kali menyatakan kawasan mereka tidak mendapat peruntukan. – UTUSAN