MIRI: Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sempena Kembara Kenali Borneo di Pusat Kraftangan Miri di sini memberi peluang kepada baginda berdua menyaksikan persembahan kebudayaan Sarawak dan melawat ke beberapa pameran usahawan
Penduduk tempatan turut tidak melepaskan peluang bertemu rombongan baginda berdua dengan menyerlahkan kepelbagaian pakaian tradisional masing-masing yanf terdiri daripada suku kaum Iban, Cina, Melanau, Bidayuh, Kedayan, Kelabit, Miriek, Bisaya dan Lun Bawang.
Sekitar pukul 2 petang tadi, keberangkatan tiba rombongan Seri Paduka Baginda tersebut disambut oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.
Turut berangkat mengikut rombongan adalah paduka anakanda Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.
Sejurus tiba, Al-Sultan Abdullah berkenan menyempurnakan simbolik menandatangani plak dan melawat ke beberapa pameran usahawan sebelum bersantapan di pusat kraftangan tersebut.
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri turut berkenan menyaksikan persembahan dendangan lagu daripada masyarakat kaum Kedayan sebelum meneruskan jelajah Kembara Kenali Borneo ke Coco Cabana.
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah serta isteri Datin Sri Zuraini Abdul Jabbar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Residen Bahagian Miri Jamalie Busri, Pegawai Daerah Miri Siti Rohanie Yusof serta dif-dif kehormat lain. –UTUSAN