Kejohanan Golf Amal YSB kumpul RM320,000 

Kejohanan Golf Amal YSB kumpul RM320,000 

PARA peserta kejohanan Golf Amal Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) merakam kenangan bersama Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Raja Muda Kedah, Che Puan Besar Kedah, Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan dan Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di The Mines Resort & Golf Club, Seri Kembangan, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) berjaya mengumpulkan RM320,000 dalam kejohanan golf amal edisi ke-22 yang berlangsung di The Mines Resort & Golf Club, semalam.

Pengerusi YSB yang juga Tunku Temenggong Kedah, Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah berkata, dana yang dikumpul itu akan digunakan untuk menyokong program pendidikan yang dijalankan YSB selama 24 tahun.

Katanya, program pendidikan itu termasuk Projek Titian Bistari (PTB) iaitu Program Pemindahan Akademik STEM melibatkan 22 sekolah luar bandar di Kedah dengan 1,210 pelajar sekolah rendah.

“YSB juga aktif bekerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), E-Idaman Sdn. Bhd, Pusat STEM Kebangsaan dan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah melalui geran yang diperoleh daripada Yayasan Hasanah.

“Dalam usaha kerjasama lain, YSB dan Yayasan Impak memberi kelas tuisyen percuma kepada pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ia dinamakan Program Intervensi Peperiksaan SPM (IMPAK),” katanya ketika berucap dalam majlis penyampaian hadiah dan sumbangan semalam.

TUNKU Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (kanan) menerima sumbangan RM50,000 daripada wakil Yayasan Al-Bukhary.

Kejohanan golf amal itu turut diserikan dengan kehadiran Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Raja Muda Kedah, Che Puan Besar Kedah dan Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan.

Tunku Puteri Intan Safinaz berkata, program pendidikan kolaboratif terbaru YSB adalah dengan Yayasan UEM di mana 300 pelajar luar bandar di Kedah kini sedang menjalani enam bulan kelas praktikal dan berasaskan aktiviti STEM dan Bahasa Inggeris bermula pada Jun 2023 dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Kedah.

Katanya, selain membantu dalam pendidikan, YSB juga telah memberi manfaat kepada penduduk di Kedah dalam bidang pembangunan masyarakat, kesihatan, warga emas, wanita dan belia. Semua caruman kepada YSB boleh ditolak cukai.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas sumbangan dan sokongan dalam menjayakan Kejohanan Golf Amal YSB ini.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Duli Yang Teramat Mulia, penaja dan penderma kami sama ada dalam bentuk tunai atau barangan,” ujarnya.

Dalam kejohanan amal itu, Yayasan Al-Bukhary muncul sebagai penaja emas dengan dana RM50,000 diikuti Richiamo Coffee Sdn. Bhd. dan AJ Resorts Sdn. Bhd. (RM30,000), manakala The Mines Resort & Golf Club (RM20,000) dan Les Copaque (RM15,000.00) sebagai penaja perak,” katanya.

Seamai 80 pemain menyertai kejohanan golf alam tersebut dan pelbagai hadiah menarik serta eksklusif diberikan kepada pemenang dengan hadiah utama berupa Epos Watch bernilai RM4,740 tajaan ATG Watch Sdn. Bhd..

Pemain yang gagal memenangi hadiah utama kejohanan bagaimanapun terubat dengan hadiah cabutan bertuah utama iaitu lukisan abstrak eksklusif bernilai RM5,500 sumbangan Datin Lelawati Mohd. Raffik Affandy dan pakej penginapan tiga hari dua malam di The Datai Langkawi bernilai RM5,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN