ARAU: Kejohanan Futsal Media Utara 2023 anjuran Persatuan Wartawan Perlis (PWP) yang menjadi tuan rumah dalam edisi kedua itu berlangsung penuh epik dan meriah di R7 Futsal Centre, Mata Ayer di sini hari ini.
Dalam kejohanan tersebut, Kelab Media Elit Kedah (KMEK) A muncul juara selepas menewaskan pasukan KMEK B dalam perlawanan akhir dengan keputusan 5-4.
Kejayaan itu menyaksikan KMEK A membawa pulang hadiah kemenangan berupa wang tunai RM700, medal dan hamper manakala KMEK B meraih hadiah RM500, medal dan hamper.
Tempat ketiga dan keempat pula berjaya dirangkul pasukan Media Perak serta PWP A di mana-mana masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM300 serta RM200 selain medal bersama hamper.
PWP B pula memperolehi hadiah saguhati dan membawa pulang wang tunai RM100 bersama medal.
Majlis penyerahan hadiah kejohanan tersebut disempurnakan oleh wakil Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Mohd Muzammir Mohd Nor.
Presiden PWP, Syed Azlan Sayid Hizar berkata, kejohanan tahunan itu dianjurkan bagi mengeratkan hubungan antara pengamal media khususnya buat mereka yang bertugas di negeri-negeri utara.
“Menerusi perlawanan ini, pengamal media yang bertugas di kawasan utara telah dihimpunkan bagi bersama-sama mengeratkan hubungan antara satu sama lain
“Selain itu, kejohanan ini juga sebagai promosi bagi pelancongan sukan dalam membantu memeriahkan penganjuran Tahun Melawat Perlis 2024/2025,” katanya.
Ujar Syed Azlan, pada saingan kali ini, PWP membuat sedikit kelainan dengan menyediakan piala pusingan kejohanan yang akan dibawa pulang oleh pasukan yang menjuarainya.
“Piala ini akan dibawa semula pada penganjuran tahun hadapan yang dijangka dilaksanakan di Perak untuk direbut oleh setiap pasukan bertanding.
“Terima kasih juga diucapkan atas kerjasama diberikan oleh Jabatan Belia dan Sukan negeri, Mokti’s dan Pejabat Menteri Besar Perlis yang membantu menjayakan kejohanan kali ini,” katanya.-UTUSAN