ALOR SETAR: Kedah dijangka menerima hujan dengan kadar yang banyak bermula minggu ketiga atau keempat bulan ini berikutan peralihan monsun pada waktu itu.
Pengarah Meteorologi Kedah, Muhammad Khalil Abd. Aziz berkata, situasi itu dijangka berlarutan hingga November depan di kebanyakan kawasan.
“Buat masa ini kita masih dalam monsun barat daya, namun bermula minggu ketiga atau keempat September ini, peralihan monsun dijangka berlaku.
“Pada musim peralihan monsun iaitu antara September, Oktober dan November, kita dijangka menerima hujan agak banyak. Justeru orang ramai perlu berhati-hati serta peka dengan keadaan cuaca selain mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurut Muhammad Khalil, kebiasaannya angin akan datang dari arah barat daya dengan hujan sebelah pagi lebih tertumpu di bahagian pantai.
“Di sebelah petang pula, ribut petir serta hujan biasanya berlaku di kebanyakan kawasan darat.
“Justeru orang ramai diminta peka mengenai ramalan kaji cuaca serta amaran dikeluarkan MetMalaysia selain sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dalam keadaan cuaca sedemikian,” katanya. –UTUSAN